ad

Amal gaya hidup rendah karbon: Nikmati rebat cukai taksiran hingga 100 peratus

14 Nov 2025, 10:30 AM
Amal gaya hidup rendah karbon:  Nikmati rebat cukai taksiran hingga 100 peratus
Amal gaya hidup rendah karbon:  Nikmati rebat cukai taksiran hingga 100 peratus
Amal gaya hidup rendah karbon:  Nikmati rebat cukai taksiran hingga 100 peratus

SHAH ALAM, 14 NOV: Penduduk yang menerapkan gaya hidup rendah karbon berpeluang menikmati rebat cukai taksiran alam sekitar hingga 100 peratus mulai tahun depan, maklum Dato’ Menteri Besar dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2026, hari ini.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata langkah ini bertujuan meningkatkan penglibatan rakyat dalam pelaksanaan Rangka Kerja Bandar Karbon Rendah, selaras komitmen negeri untuk mengurangkan pelepasan karbon dan memperluas penggunaan teknologi hijau di peringkat isi rumah.

Menurutnya, antara teknologi dan fasiliti mesra alam yang melayakkan pemilik rumah menerima rebat termasuklah:

• pemasangan panel solar bagi mengurangkan kebergantungan kepada grid nasional

• sistem penuaian air hujan

• pengasingan sisa di rumah untuk memudahkan proses kitar semula

• unit pengecasan kenderaan elektrik (EV)

• sistem pengkomposan sisa makanan

“Bermula tahun hadapan, penduduk Selangor yang memasang semua fasiliti mesra alam tersebut layak menerima sehingga 100 peratus rebat cukai taksiran bagi tahun 2026, tertakluk kepada permohonan dan proses semakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Inisiatif ini diperluas ke seluruh Selangor selepas kejayaan pelaksanaannya di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), yang telah menerima sambutan tinggi dengan nilai rebat berjumlah RM878,205.05 kepada pemohon layak,” katanya,

Menurutnya lagi, setiap PBT akan menyediakan peruntukan khusus bagi tujuan rebat tersebut yang melibatkan sejumlah RM1,000,000 bagi MBPJ, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Majlis Bandaraya Diraja Klang.

“Manakala Majlis Perbandaran akan menyediakan peruntukan RM200,000 dan Majlis Daerah Sabak Bernam akan menyediakan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi tujuan rebat cukai taksiran,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, Amirudin memberitahu Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif dengan menukar tiang lampu konvensional dengan teknologi tiang lampu solar di pejabat-pejabat Kerajaan Negeri, jalan negeri dan kawasan PBT.