SHAH ALAM, 14 NOV: Dana baucar membeli-belah bernilai RM150 buat warga emas dan orang kurang upaya (OKU) ditambah kepada RM55 juta pada tahun depan berbanding RM20 juta tahun lalu, kata Dato’ Menteri Besar.
“Warga emas Selangor (akan menerima) bantuan baucar barangan keperluan asas sebagai tanda kasih dan penghargaan atas sumbangan mereka kepada pembangunan negeri.
“Bermula pada suku pertama 2026, program ini menggalakkan penyertaan komuniti dan menyokong peniaga tempatan melalui edaran baucar di pasar raya terpilih,” katanya di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Pada Belanjawan Selangor 2025, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM20 juta untuk melaksanakan skim berkenaan, yang memanfaatkan 20,000 individu.
Sebelum ini, bantuan khairat kematian warga emas melalui Skim Mesra Usia Emas dihentikan pada Mei 2019 sebelum disambung semula pada 2021.




