HULU SELANGOR, 1 MAC: Sebanyak 36,350 baucar Jom Shopping bernilai RM200 bakal diagih sempena Aidilfiri yang disambut hujung bulan ini.
EXCO pembasmi kemiskinan berkata agihan menyasarkan golongan memerlukan dan berpendapatan rendah di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan peruntukan lebih RM7.2 juta.
“Permohonan dibuka mulai Isnin ini dan diurus pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Baucar akan diserahkan sebelum Aidilfitri bagi membolehkan penerima menyediakan kelengkapan sekali gus memeriahkan raya mereka,” kata V Papparaidu.
Terdahulu beliau menyerahkan bantuan Program Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-Seed) untuk penerima sekitar Hulu Selangor hari ini.
Menerusi belanjawan tahun ini, negeri memperuntuk RM12 juta bagi program pemberian baucar Jom Shopping sempena perayaan mengikut komponen kaum.
Selain Aidilfitri, inisiatif bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) turut diberi kepada keluarga kurang mampu untuk menyambut Tahun Baharu Cina dan Deepavali.
Januari lalu, pentadbiran menyediakan 23,900 baucar melibatkan dana RM4.78 juta untuk sambutan Tahun Baharu Cina Januari yang diagihkan ke setiap kawasan.