ad

450 penduduk Taman Medan nikmati baucar beli-belah Deepavali

12 Okt 2025, 8:23 AM
450 penduduk Taman Medan nikmati baucar beli-belah Deepavali
450 penduduk Taman Medan nikmati baucar beli-belah Deepavali

SUBANG JAYA, 12 OKT: Seramai 450 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan menerima baucar beli-belah Jom Shopping sempena sambutan Deepavali, minggu depan.

Penyelaras DUN, Halimey Abu Bakar berkata 90 peratus peserta merupakan penerima kali pertama, membuktikan inisiatif berkenaan terus diperluas kepada lebih ramai penduduk yang memerlukan.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan, Halimey Abu Bakar menyantuni penerima baucar Jom Shopping Deepavali di Mydin Subang Jaya pada 12 Oktober 2025. Foto UFAIRAH TARMIDZI/ MEDIA SELANGOR

“Kita berharap Kerajaan Negeri dapat menambah kuantiti baucar untuk masyarakat India di DUN Taman Medan pada masa akan datang agar lebih ramai dapat menikmati manfaat ini,” katanya ketika ditemui di Mydin Subang Jaya, hari ini.

Penerima baucar, K R Saraswathy Subramanian, 66, menzahirkan rasa syukur memandangkan ini pertama kali anaknya menerima baucar tersebut.

“Bantuan ini banyak mengurangkan perbelanjaan kami untuk membuat persiapan Deepavali selain proses pembelian menggunakan baucar tersebut juga mudah dan tidak rumit,” ujarnya.

K R Saraswathy Subramanian

Bagi P S Ageelan, 23, baucar bernilai RM200 yang diterima itu menambah keceriaan sambutan Deepavali keluarganya selain membantu menangani peningkatan kos barangan keperluan.

“Kos barang sekarang tinggi, jadi dengan adanya baucar ini, kebajikan golongan berpendapatan rendah seperti kami terjaga. Duit lebihan pula boleh digunakan untuk beli baju dan kelengkapan Deepavali yang lain,” katanya.

P S Ageelan

Seorang lagi penerima, S Rajeswary, 57, pula berkata bantuan baucar itu amat bermakna buat keluarganya memandangkan hanya suami yang bekerja.

“Kalau tiada baucar RM200 ini, memang agak susah untuk membuat persiapan Deepavali. Saya manfaatkan baucar diterima hari ini dengan membeli barang dapur supaya dapat masak lebih banyak juadah pada hari perayaan nanti,” tambahnya.

S Rajeswary