SHAH ALAM, 12 OKT: Pemberian baucar Jom Shopping Perayaan sempena sambutan Deepavali giat diagihkan di seluruh negeri menerusi pusat khidmat masyarakat wakil rakyat.
Menurut Ahli Dewan Negeri Seri Serdang Abbas Azmi, seramai 400 individu yang layak menerima baucar bernilai RM200 yang diagihkan di sebuah pasar raya di Seri Kembangan.
“Program ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dalam membantu masyarakat membuat persiapan menyambut Deepavali dengan lebih ceria dan bermakna.

“Bukan itu sahaja, Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) juga menyampaikan sumbangan Deepavali kepada 20 orang sebagai tanda kasih dan kepedulian terhadap komuniti,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, wakil rakyat Bandar Baru Klang, Dr Quah Perng Fei berkata pihaknya mengagihkan 300 baucar Jom Shopping kepada penerima di kawasannya, Khamis lalu.

“Selain agihan baucar, saya sendiri mengambil inisiatif mengagihkan bakul makanan kepada lebih 100 individu yang tidak menerima baucar.
“Diharap dengan sumbangan bakul makanan ini membawa kegembiraan dan semangat perayaan kepada semua penerima,” katanya.
Pada masa sama, Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron berkata pihaknya menerima 580 permohonan baucar Jom Shopping sejak inisiatif itu dibuka bermula 8 September.

“Kita hanya dapat agihkan baucar kepada 450 penerima sahaja mengikut kuota yang diberikan. Agihan telah dibuat pada minggu lalu dan diharap dapat ringankan beban.
“Biarpun tidak semua dapat tetapi kita bersyukur kerana jumlah penerima ada penambahan sebanyak 50 individu berbanding tahun lalu 400 sahaja,” katanya.
Manakala, Ahli Dewan Negeri Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin berkata 200 individu menerima baucar Jom Shopping sempena Deepavali minggu depan.

“Agihan baucar kepada penerima ini turut disertai Ketua Komuniti India DUN Bandar Utama Paramjit Singh.
“Semoga inisiatif ini dapat menceriakan sambutan Deepavali dan membantu mereka yang bakal menyambut perayaan cahaya ini membuat persiapan,” katanya.
Baru-baru ini, EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu memaklumkan lebih 22,000 baucar Jom Shopping Perayaan bernilai RM200 sudah diagih di seluruh negeri sempena sambutan Deepavali.
Bantuan untuk keluarga kurang berkemampuan membeli keperluan perayaan bernilai RM200 itu ditambah baik dengan dinaikkan daripada RM100 berbanding sebelum ini sejak 2023.