SHAH ALAM, 14 NOV: Serendah dan Lembah Beringin akan dijadikan lokasi pembangunan Automotive Valley yang menumpukan kenderaan jana kuasa konvensional seperti petrol atau diesel, hibrid serta tenaga elektrik.
Dato’ Menteri Besar berkata lokasi berkenaan berpotensi mengeluarkan sehingga 300,000 unit kenderaan setahun apabila semua fasa siap susulan pelaburan syarikat automatif Chery bernilai RM2.2 bilion yang membina Chery Smart Auto Industrial Park tahun ini.
Malah kawasan ini terletak berhampiran dengan kilang utama syarikat kenderaan tanah air iaitu Proton dan Perodua serta syarikat antarabangsa Nissan dan dasar-dasar strategik untuk membangunkan keseluruhan rantaian bekalan akan diusahakan Invest Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
Berucap membentang Belanjawan Selangor 2026 hari ini, beliau berkata Selangor juga bakal mengorak ;langkah dalam aspek pembinaan komponen tren serta usaha penyelenggaraan susulan pembangunan hab industri rel di Hulu Selangor.
“Usaha ini melibatkan pihak industri, akademia, serta operator rel yang mempunyai pengalaman dalam bidang rel.Setakat ini syarikat di Selangor sudah mula mengusahakan pembuatan lokomotif untuk tujuan penggunaan jaringan MRT serta eksport ke luar negara seperti SMH Rail.
“Syarikat ini merupakan satu-satunya kilang pembuatan di luar Eropah yang menerima pengiktirafan dan pensijilan oleh Siemens,” katanya.
Dalam Belanjawan Selangor 2024, Kerajaan Negeri mengumumkan kajian kebolehlaksanaan Jajaran Rel Kita Selangor di pantai barat negeri melalui peruntukan RM3 juta.





