HULU SELANGOR, 26 FEB: Kilang pemasangan kereta Chery di Lembah Beringin dijangka mula beroperasi pada suku kedua tahun ini selepas pembangunan projek kini mencapai 40 peratus kemajuan.
Pegawai Daerah Hulu Selangor Yuhanas Auree Kamaruddin berkata pelaburan bernilai RM3 bilion oleh syarikat automotif dari China itu bakal mewujudkan kira-kira 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Pembangunan ini akan mengubah landskap pertumbuhan semula Bandar Lembah Beringin yang telah lama terbengkalai. Pemaju juga akan membina jalan utama sejauh enam kilometer dari tapak projek ke tol Lembah Beringin bagi kemudahan penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan pada majlis berbuka puasa Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bersama rakyat di Masjid Sungai Tengi hari ini.

Dalam pada itu, Yuhanas memaklumkan Majlis Perbandaran Hulu Selangor kini sedang melaksanakan pengubahan Rancangan Tempatan Daerah Hulu Selangor 2035 (Pengubahan 2) bagi memastikan perancangan pembangunan dibuat secara menyeluruh sekali gus memastikan kawasan Lembah Beringin bersedia menerima pelaburan seterusnya.
“Cadangan pengubahan ini penting bagi memastikan perancangan awal dapat dibuat bagi menyediakan keperluan industri hiliran yang bakal tumbuh daripada pembukaan kilang pemasangan Chery berkenaan,” ujarnya.




