ad

Bina lebih 3,000 rumah baharu berhampiran Sungai Klang bermula tahun depan

14 Nov 2025, 8:04 AM
Bina lebih 3,000 rumah baharu berhampiran Sungai Klang bermula tahun depan
Bina lebih 3,000 rumah baharu berhampiran Sungai Klang bermula tahun depan
Bina lebih 3,000 rumah baharu berhampiran Sungai Klang bermula tahun depan

SHAH ALAM, 14 NOV: Lebih 3,000 rumah termasuk jenis mampu milik akan dibina di kawasan berhampiran Sungai Klang bermula tahun depan sehingga 2030, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Bercakap ketika membentang Belanjawan Selangor 2026, Dato’ Menteri Besar berkata pembinaan di sembilan plot tanah seluas 263 ekar itu melibatkan 2,433 unit rumah harga bebas serta 970 rumah mampu milik.

“Bermula 2026, Gerbang Maritim Selangor (SMG) diterajui Landasan Lumayan Sdn Bhd akan membangunkan kawasan berhampiran sungai termasuk rumah pasaran bebas dan perumahan mampu milik.

“Pembangunan bermula di Kampung Fajar Fasa 1 di Gombak bagi menempatkan semula penduduk yang sebelum ini tidak mempunyai pengiktirafan tanah melibatkan 177 rumah mampu milik, 441 rumah harga bebas dan 18 unit komersial. Ini juga bagi menghidupkan kawasan serta mengangkat martabat rakyat,” katanya.

Pada Mac 2021, Amirudin berkata pentadbiran menjangka pelaburan berjumlah kira-kira RM1 bilion bakal diperoleh menerusi projek pembangunan SMG di Sungai Klang menjelang 2030 memandangkan sungai serta kawasan tebingnya memiliki prospek besar untuk membuka pelbagai peluang bernilai tinggi kepada pelabur serta peniaga.