SHAH ALAM, 14 NOV: Sejumlah RM15 juta diperuntuk tahun depan bagi menggalakkan pelaburan termasuk pelaksanaan inisiatif baharu, SME-Investors Linkages, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menerusi program itu, syarikat tempatan berupaya mendapat akses pasaran luar negara sekali gus mengukuhkan kedudukan dalam rantaian nilai jangka masa panjang.
“Selain itu program Selangor Soft Landing yang telah berjaya membawa masuk 13 syarikat pelabur serta Selangor Lab Partnership yang menerima penyertaan enam syarikat bidang sains hayat akan diteruskan,” katanya ketika membentang Belanjawan Selangor 2026 hari ini.
Program Selangor Investor Soft Landing diperkenal Mac 2024 untuk membantu pelabur asing dan domestik yang berpotensi memilih lokasi yang sesuai untuk projek mereka di negeri ini.
Amirudin memaklumkan dalam tempoh enam bulan tahun ini, Selangor berjaya merekodkan pelaburan lebih tinggi dari segi jumlah projek berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Sebanyak 948 diluluskan tahun ini melibatkan RM34.653 bilion dengan 31.886 peluang pekerjaan diwujudkan.Tahun lalu sebanyak 897 projek diluluskan bernilai RM35.865 bilion,” katanya.
Beliau turut mengumumkan tujuh pembangunan taman perindustrian terurus (MIP) sedang dalam proses pembinaan ketika ini merangkumi tiga di Kuala Langat, Gombak (tiga) dan Klang (satu).




