ad

Selangor anjur karnival kerjaya wanita pada tahun depan

14 Nov 2025, 9:32 AM
Selangor anjur karnival kerjaya wanita pada tahun depan

SHAH ALAM, 14 NOV : Karnival kerjaya wanita yang bakal dilaksanakan pada tahun hadapan bakal membuka lebih banyak peluang kerja buat kaum hawa, kata Dato’ Menteri Besar.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan PERKESO bagi melaksanakan karnival yang menawarkan perkembangan kerjaya secara profesional dan teknikal.

“(Tahun lalu) Pelaksanaan Inisiatif Meningkatkan Tenaga Buruh Wanita (dilaksana) menerusi program Career Comeback hasil kerjasama strategik bersama TalentCorp di lima daerah iaitu Gombak, Klang, Sabak Bernam, Petaling dan Hulu Langat.

“Ia telah mencapai penyertaan seramai 1,000 wanita sepanjang tahun 2025. Pada tahun hadapan, inisiatif ini akan diperluas melalui Karnival Kerjaya Wanita. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM500,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Selangor sebelum ini menyasarkan untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja kepada 75 peratus menjelang 2030 berbanding 69.9 peratus, justeru Career Comeback Programme dianjur bersama TalentCorp.

Pendekatan diperkenal antaranya polisi kerja anjal dalam syarikat berkaitan Kerajaan Negeri seperti MBI Corporation.