Tenang mengatur pukulan di padang, langkahnya tersusun, setiap ayunan tepat dan bertenaga.
Meskipun baru berusia 12 tahun, langkah pemain golf muda, Raja Muhammad Syakir Raja Mohd Sukry setenang pemain berpengalaman.
Hasilnya, pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) dalam genggaman anak jati Selangor ini.
Dia dinobat pemain golf junior dengan kemenangan terbanyak dalam tempoh setahun, selepas menjuarai 16 kejohanan peringkat tempatan dan antarabangsa.
Lebih bangga, pemain program PKNS Golf Junior Elite ini turut memegang STREEAMD Mind Records sebagai pemain golf junior dengan 16 kali kemenangan bagi kejohanan golf permainan 18 lubang dalam tempoh 365 hari.

Bermula seawal tujuh tahun
Minat anak kedua daripada empat adik beradik ini terhadap sukan golf bermula sejak berusia tujuh tahun, terinspirasi oleh abangnya.
"Saya mula main sebab abang. Dari situ saya terus rasa nak main golf lagi, macam 'addicted'. Bila sudah mula menang, saya nak terus menang dan jadi lebih bagus," katanya.
Sejak itu, Raja Muhammad Syakir terus mara. Kemenangan demi kemenangan menjadi pembakar semangat untuk melangkah lebih jauh dalam sukan itu. Rahsianya mudah, latihan konsisten dan disiplin tinggi.
"Saya tak pernah berhenti berlatih. Jangan putus asa. Masa 'game' saya tak fikir banyak pun. Saya cuma main 'game' saya saja.
"Tidak fikir mengenai orang lain. Fokus dan main yang terbaik," katanya.
Segala usahanya terbayar, dalam tempoh setahun dia menawan pelbagai kejohanan besar antaranya MGA Junior Open–Johor Golf Expo, US Kids Golf Central Malaysia, Jejak Juara MSSWPKL dan Sportexcel Grand Final.
Dia juga menjuarai FCG Asia Pacific Cup 2025, Kejohanan Golf MSSWPKL 2025, Kejohanan Golf MSSM 2025, Srixon 100Plus Malaysia Junior Development Tour, Sportexcel Sabah Championship serta JGC Junior & Amateur International Golf Championship.
Di sebalik kejayaan itu tersimpan sokongan padu keluarga, khususnya bapanya, selain bimbingan jurulatih dan penaja. Akademik dan sukan diseimbangkan.
Dia menatap masa depan dengan penuh keyakinan, bertekad meneruskan langkah ke peringkat lebih tinggi untuk bermain di PGA Tour serta Olimpik.
"Untuk penaja seperti PKNS, MBI (Menteri Besar Selangor Pemerbadanan), MSN Selangor, Kementerian Belia dan Sukan serta 100Plus, saya nak ucapkan terima kasih,” katanya.

Bapa tulang belakang kejayaan
Bagi bapanya, Raja Mohd Sukry Raja Muhamad ,ibu bapa adalah tulang belakang kejayaan anak dalam sukan. Ia sudah pasti menuntut masa, tenaga dan pengorbanan tanpa henti.
"Saya ingat pesanan seorang jurulatih, 'Abang nak anak abang bagus, abang bagus dulu.' Itu yang membuatkan saya berlatih golf, sebab saya yang mula-mula kena pandai dulu. Saya tak ada 'me time'.
"Saya luangkan semua waktu lapang saya untuk anak," katanya.
Umpama pengurus kepada anak, dia mengatur jadual dan latihan. Walau sibuk bekerja, masa lapang tetap dihabiskan di padang golf.
Dari situ, dia belajar tentang latihan, pemakanan dan keperluan peralatan yang sesuai. Ada masa perlu bertegas, ada masa perlu jadi penyokong paling kuat.
"Yang penting, anak tahu setiap usaha disertai doa dan sokongan tanpa syarat. Bila dia rasa susah, saya selalu cakap bukan semua orang dapat peluang macam ni. Jadi jangan sia-siakan," katanya.

Bagi jurulatih program PKNS Golf Junior Elite, iaitu bekas pemain golf profesional negara Shaaban Hussin dan Michael Westwood, ketekunan dan karekter matang Raja Muhammad Syakir antara kunci utama kemajuannya.
"Fokus dia sangat bagus. Dia juga boleh menerima pendapat. Dari situ saya kenal dia dan saya boleh nampak dalam masa lima atau enam tahun dia boleh pergi jauh.
"Alhamdulillah, memang ramalan saya tepat. Banyak kejayaan dia hingga diiktiraf MBOR," kata Shaaban yang pernah beraksi sepentas dengan ikon golf dunia, Tiger Woods.
Bagi Westwood yang membimbing Raja Muhammad Syakir hampir dua tahun, kematangan mental anak muda itu antara keistimewaan yang paling menonjol selain personaliti dan ketahanan berdepan cabaran.
"Untuk usia 12 tahun, cara dia berfikir dan bermain sangat matang. Dia tidak bermain seperti kanak-kanak lain.
"Fokus dan cara dia menguruskan permainan menunjukkan mentaliti yang sangat luar biasa," katanya.




