SHAH ALAM, 12 NOV: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat dan ribut petir melanda lima daerah di Selangor hingga 9 malam.
Daerah terlibat ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat.
Cuaca sama diramal melanda seluruh Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak selain beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak, Sabah dan Labuan.
Jelas MetMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan lebat dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam yang dijangka berterusan lebih sejam.
Amaran ini adalah amaran jangka pendek yang sah selama maksimum enam jam bagi satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan agar sentiasa merujuk laman sesawang rasmi MetMalaysia di www.met.gov.my, mengikuti media sosial mereka serta memuat turun aplikasi myCuaca untuk mendapatkan maklumat terkini dan tepat.





