SHAH ALAM, 12 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membuka permohonan penganjuran bazar Ramadan bagi tahun depan bermula 1 hingga 30 November ini.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memaklumkan bazar Ramadan berkenaan akan dianjurkan oleh persatuan, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta syarikat swasta.
“Penganjur perlu menyediakan dan menghantar beberapa dokumen seperti surat permohonan, surat kebenaran pemilik tanah atau bangunan, pelan serta gambar lokasi bazar dan senarai nama peniaga,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Permohonan boleh dihantar ke Kaunter Gerbang Perkhidmatan Shah Alam, Tingkat G, Wisma MBSA, setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 5 petang.
Sebarang pertanyaan atau aduan boleh dikemukakan melalui e-mel ke bazar@mbsa.gov.my.


