SHAH ALAM, 12 NOV: Sejak dilaksanakan pada Mei lalu di kawasan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Program Kitar Semula Selangor (SELKitar) mencatat peningkatan kutipan bahan kitar semula setiap bulan.
EXCO Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata ia menunjukkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan penduduk semakin tinggi.
Jelasnya, MBSJ telah mengutip 31,162 kilogram bahan kitar semula dari Mei hingga September, manakala MP Sepang mencatat 31,879 kilogram dalam tempoh yang sama.
“Secara keseluruhan, kutipan kedua-dua pihak berkuasa tempatan ini mencecah 63,041 kilogram,” ujarnya kepada Media Selangor.

Jamaliah menambah, berikutan sambutan yang menggalakkan, kerajaan negeri telah meluaskan program ini ke kawasan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) bermula 27 Oktober lalu.
Pelaksanaan di MPKL masih pada peringkat awal, dengan tumpuan utama kepada promosi dan pendidikan masyarakat supaya penduduk lebih memahami konsep program serta mengingati jadual kutipan.
“Kami akan bekerjasama dengan MPKL untuk memperkukuh hebahan kepada penduduk, termasuk menghasilkan video pendidikan yang akan disebarkan melalui media sosial dan kumpulan Persatuan Penduduk (RA),” katanya.
Beliau berharap orang ramai lebih proaktif dan konsisten dalam mengasingkan sisa isi rumah serta meletakkan bahan kitar semula di luar rumah pada hari yang ditetapkan untuk dikutip oleh lori.
Selain itu, program SELKitar akan diperluaskan secara berperingkat ke kawasan pihak berkuasa tempatan lain termasuk Kuala Selangor, Kajang, Ampang Jaya, Hulu Selangor, dan Selayang.
Mengulas kemungkinan pengumpulan botol kaca dan sisa elektronik (e-waste) pada masa depan, Jamaliah berkata fokus utama kini adalah memastikan penduduk mengasingkan bahan kitar semula di peringkat sumber.
“Sebaik sahaja matlamat ini tercapai, kami pasti akan mempertimbangkan penambahan jenis bahan kitar semula lain dalam program berkenaan,” ujarnya.
Jumlah kutipan bahan kitar semula mengikut bulan (kg)
Mei - MBSJ ( 5,175), MPSepang (1,850)
Jun - MBSJ (5,210), MPSepang (6,984)
Julai - MBSJ (6,898), MPSepang (7,585)
Ogos - MBSJ (7,024), MPSepang (7,385)
September - MBSJ (6,855), MPSepang 8,075
Langkah-langkah yang perlu diikuti oleh penduduk:
1️⃣ Asingkan bahan boleh dikitar semula (plastik, kertas, tin aluminium, kotak, kotak minuman)
2️⃣ Cuci dan keringkan bahan tersebut
3️⃣ Masukkan ke dalam kotak atau beg plastik
4️⃣ Letakkan di luar rumah mengikut jadual kutipan yang ditetapkan






