ad

Tragedi bot karam: Korban meningkat kepada 29 orang

12 Nov 2025, 1:37 AM
Tragedi bot karam: Korban meningkat kepada 29 orang
Tragedi bot karam: Korban meningkat kepada 29 orang

LANGKAWI, 12 NOV: Jumlah korban tragedi bot karam yang dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (Pati) di perairan sempadan Malaysia–Thailand meningkat kepada 29 orang selepas empat lagi mayat ditemukan petang semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa, berkata penemuan terbaharu itu melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita, masing-masing ditemui di sekitar perairan Tanjung Belua dan Pulau Intan Kecil.

“Seorang mangsa lelaki dewasa turut berjaya diselamatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira jam 12.49 tengah hari pada jarak 0.1 batu nautika dari Tanjung Belua.

“Mangsa dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, penemuan pertama dimaklumkan oleh orang awam apabila seorang wanita ditemukan berhampiran Pulau Intan Kecil sebelum dibawa pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke jeti untuk proses serahan.

Tidak lama kemudian, Jabatan Laut Malaysia (JLM) memaklumkan penemuan mayat lelaki di barat Tanjung Belua, diikuti penemuan kedua oleh Kapal Maritim (KM) SIANGIN kira-kira 1.6 batu nautika dari lokasi sama.

Penemuan terakhir direkodkan sekitar jam 4.13 petang apabila bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) FCB 1331 menemui satu lagi mayat lelaki di jarak satu batu nautika dari Tanjung Belua.

Setakat jam 5.30 petang, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) yang memasuki hari ketiga berjaya menyelamatkan 14 mangsa, terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita.

Secara keseluruhan, 29 mangsa disahkan maut, termasuk sembilan mayat yang ditemukan pihak berkuasa Thailand di perairan negara itu.

Romli turut menyeru orang awam yang menjumpai mangsa supaya segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Kedah dan Perlis di talian 04-966 2750 atau talian kecemasan 999.