ad

Operasi Carilamat bot karam Langkawi ditamat selepas sembilan hari

17 Nov 2025, 12:17 PM

SHAH ALAM, 17 NOV: Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) pendatang asing tanpa izin (PATI) susulan bot karam di sempadan perairan Malaysia-Thailand ditamatkan hari ini selepas sembilan hari pencarian tanpa sebarang petunjuk baharu.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, operasi yang berakhir pada jam 6.30 petang itu dihentikan selepas penilaian risiko dilakukan, termasuk faktor cuaca, selaras dengan tatacara operasi piawai (SOP) Carilamat, lapor Sinar Harian.

Beliau memaklumkan semua aset Maritim Malaysia telah digerakkan sepenuhnya sepanjang operasi bagi memastikan setiap sektor pencarian diliputi.

“Setakat jam 12 tengah hari, seramai 43 mangsa ditemukan, terdiri daripada 14 mangsa terselamat (12 lelaki, dua wanita), manakala 29 maut membabitkan 15 lelaki, sembilan wanita, dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.

“Operasi dilancarkan sejak 9 November susulan penemuan mangsa pertama yang ditemui hanyut sehingga perairan Langkawi,” katanya dalam kenyataan.

Penemuan mangsa direkodkan di sekitar Pulau Singa Besar, Pulau Rebak Besar, Teluk Apau, barat Tanjung Belua dan Pulau Anak Datai.

Zainudin berkata semua mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk proses pengecaman dan tindakan lanjut.

Operasi besar-besaran itu melibatkan lebih 300 pegawai dan anggota dengan 22 aset digerakkan, termasuk tiga aset udara dan 19 aset laut Maritim Malaysia.

Turut membantu ialah Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Perikanan serta Unit Dron JBPM.

“Maritim Malaysia merakamkan penghargaan kepada semua agensi keselamatan, komuniti maritim dan individu yang membantu sepanjang operasi berlangsung,” katanya.