ad

Penerima baucar raya RM200 dijangka bertambah tahun depan

13 Nov 2025, 12:00 AM
Penerima baucar raya RM200 dijangka bertambah tahun depan

SHAH ALAM, 13 NOV: Lebih ramai golongan berpendapatan rendah (B40) dijangka menerima baucar Jom Shopping Perayaan berjumlah RM200 tahun depan menerusi Belanjawan Selangor 2026.

EXCO pembasmi kemiskinan berkata selain mengurangkan beban kewangan penerima untuk menyambut raya, penambahan juga selaras usaha negeri dalam menokhtahkan miskin sıfar.

“Belanjawan kali ini (2026) mungkin beri peruntukan lebih dan ini peluang untuk kita tambah jumlah baucar perayaan. Lebih ramai yang akan terima dan mampu mengurangkan kos belanja perayaan,” kata V Papparaidu kepada Media Selangor.

Beliau turut berharap peruntukan bersesuaian diberikan bagi meneruskan program tambang bas sekolah khususnya kepada pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

“Program ini membolehkan pelajar layak untuk terima bantuan sebanyak RM300 bagi mengurangkan kos bayaran tambang ke sekolah,” katanya.

Menerusi belanjawan tahun ini, negeri memperuntuk RM12 juta bagi program pemberian baucar Jom Shopping kepada keluarga kurang mampu untuk menyambut perayaan utama negara iaitu Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali.

Minggu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook memaklumkan pihaknya kini giat memuktamadkan intipati perancangan akhir kos belanja tahun depan yang disasar akan memberi manfaat kepada rakyat.

Jelasnya belanjawan tahun depan akan memberi keutamaan kepada pelaksanaan program baharu berteraskan pendidikan dan pembasmian kemiskinan bagi memastikan rakyat terus maju seiring pembangunan negeri.

Belanjawan Selangor 2026 juga dirangka dengan pendekatan menyeluruh yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kebajikan rakyat.