SHAH ALAM, 11 NOV: Data dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memainkan peranan penting dalam membantu Kerajaan Selangor merangka dasar dan pembangunan dengan lebih tepat serta mampan.
EXCO Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi berkata data tersebut juga memberi gambaran jelas terutama dalam sektor pembuatan, perkhidmatan, pembinaan dan pertanian.
“Kita melihat data yang dikumpul oleh DOSM ini membantu Selangor merancang bagi meningkatkan prestasi dan kenaikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Bagi merancang pembangunan negeri memerlukan data yang mencukupi, malah ketepatan data mencerminkan realiti angka sebenar dalam apa jua bidang,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sesi Libat Urus Banci Ekonomi 2026 bersama pemegang taruh Kerajaan Negeri, hari ini.
Menurut Najwan, Kerajaan Negeri turut giat mengumpulkan data usahawan menerusi Platform Selangor (PLATS) bagi memastikan pengagihan bantuan dan insentif dapat dilaksanakan dengan lebih adil dan tepat.
“Sekiranya terdapat program, bantuan atau insentif dari kerajaan, urusan itu akan dapat diagihkan mengikut data yang diperoleh,” ujarnya.
Tambah beliau, ketepatan data daripada sektor perniagaan juga penting dalam meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap potensi Selangor sebagai hab pelaburan menguntungkan.
Terdahulu, data DOSM menunjukkan Selangor merekodkan pertumbuhan ekonomi memberangsangkan sebanyak 6.3 peratus, mengatasi purata nasional.
Pencapaian itu menyumbang 26.2 peratus kepada keseluruhan KDNK negara, sekali gus mengukuhkan peranan Selangor sebagai hab utama dalam sektor perindustrian dan perkhidmatan.





