ad

Tragedi bot karam: Empat lagi mayat ditemukan, jumlah korban kini 16 orang

11 Nov 2025, 8:17 AM
Tragedi bot karam: Empat lagi mayat ditemukan, jumlah korban kini 16 orang
Tragedi bot karam: Empat lagi mayat ditemukan, jumlah korban kini 16 orang

SHAH ALAM, 11 NOV: Empat lagi mayat mangsa bot karam yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) berhampiran sempadan Malaysia-Thailand ditemukan hari ini, menjadikan jumlah korban setakat ini 16 orang.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula pada jam 7.30 pagi ini dengan kawasan pencarian diperluas kepada 272.78 batu nautika persegi berikutan keadaan laut yang bergelora.

Menurut beliau, mayat pertama ditemukan terapung oleh orang awam berhampiran Pulau Beras Basah dan dimaklumkan kepada Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi pada jam 10.40 pagi.

"Bot BENTENG 7 segera digerakkan ke lokasi dan membawa mayat terbabit ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Tidak lama kemudian, KM SIANGIN menemukan mayat kanak-kanak lelaki di perairan Tanjung Chincin sebelum diserahkan kepada Bot PERKASA 1226 untuk dibawa ke Jeti Teluk Ewa," katanya seperti dilapor BH Online

Romli turut memberitahu penemuan keempat dilaporkan jam 11.20 pagi apabila Bot TLDM FCB 1331 menjumpai mayat seorang kanak-kanak lelaki di kawasan Tanjung Belua.

Mayat tersebut katanya, dibawa ke jeti Maritim Malaysia di Bukit Malut sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Romli menegaskan, Maritim Malaysia bersama semua agensi terbabit komited meneruskan operasi SAR bagi mengesan mangsa yang masih hilang.

“Walaupun keadaan laut bergelora dan keluasan kawasan pencarian menjadi cabaran, operasi diteruskan dengan keutamaan keselamatan dan ketepatan pencarian,” katanya.