ad

Imigresen tumpas sindiket jual cap keselamatan palsu, tujuh ditahan

11 Nov 2025, 5:09 AM
Imigresen tumpas sindiket jual cap keselamatan palsu, tujuh ditahan

SHAH ALAM, 11 NOV: Tujuh individu termasuk tiga wanita warga Vietnam ditahan Jabatan Imigresen Malaysia di sebuah rumah di Seri Kembangan Isnin lalu kerana terlibat sindiket menjual cap keselamatan palsu kepada warga asing.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata sindiket menyasarkan warga Vietnam, Indonesia dan Thailand yang mahu menetap lama di Malaysia, dengan bayaran antara RM2,500 hingga RM3,000 bagi setiap dokumen palsu.

Menurutnya, operasi itu bermula selepas pihak Imigresen menerima maklumat mengenai dua lelaki tempatan yang menaiki bas dari Johor menuju Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

“Pasukan operasi berjaya menjejaki dan menahan mereka di premis kediaman di Seri Kembangan, dipercayai menjadi tempat persembunyian beberapa suspek lain,” katanya menerusi kenyataan.

Semua suspek berusia 20 hingga 35 tahun kini disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63. Zakaria menegaskan, Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi terhadap pihak yang terlibat dalam pemalsuan dokumen atau menggaji warga asing tanpa dokumen sah.