ad

25 ajaran sesat diwarta, 35 individu ditahan polis

11 Nov 2025, 4:45 AM
25 ajaran sesat diwarta, 35 individu ditahan polis

SHAH ALAM, 11 NOV: Sebanyak 25 ajaran sesat telah diwartakan dan masih aktif setakat September lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berkata setakat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah membuat 35 tangkapan berkaitan ajaran sesat dan meragukan.

“Sehingga September 2025, jumlah ajaran sesat yang sudah diwartakan dan masih aktif direkodkan sebanyak 25,” katanya menerusi jawapan lisan di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai) mengenai jumlah ajaran sesat yang diwartakan dan tangkapan yang dibuat tahun ini.

Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memaklumkan bahawa sejak 1950 hingga 2023, sebanyak 154 ajaran telah difatwakan sesat di seluruh negara.

Di Selangor sahaja, sebanyak 45 ajaran sesat dan khurafat dikesan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar, dengan sebahagiannya masih aktif secara tersembunyi di beberapa daerah seperti Gombak, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Dalam kes terbaru semalam, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menahan ketua dan tujuh pengikut kumpulan Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan ajaran sesat.

Pengarah JAIP, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman, berkata mereka ditahan hasil serbuan di bekas gudang perabot yang dijadikan tempat tinggal di Kampung Sungai Putat, Pulau Tawar, Jerantut, pada jam 2.30 petang kelmarin.