LANGKAWI, 10 NOV: Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) mangsa bot karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand di sini menemukan lima lagi mayat pada hari ini.
Penemuan itu sekali gus menjadikan 12 mangsa maut dijumpai di perairan Malaysia manakala 13 lagi mangsa ditemukan selamat sejak CARILAMAT dilancarkan.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata penemuan pertama membabitkan mayat seorang kanak-kanak lelaki yang ditemukan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kira-kira dua batu nautika barat daya Tanjung Belua pada 12.47 tengah hari.
“Beberapa minit kemudian, aset milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Bot FCB 1331 pula menemukan mayat seorang lelaki dewasa terapung di laut sebelum dibawa ke jeti Maritim Malaysia dan diserahkan kepada pihak polis.
“Tidak lama selepas itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan penemuan mayat seorang wanita kira-kira tiga batu nautika barat laut Pulau Rebak Besar, sebelum dibawa ke jeti Harbour Park,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pada 3.31 petang, aset KD LEDANG milik TLDM menemukan satu lagi mayat wanita, manakala Bot PSC 20 Pasukan Polis Marin (PPM) menjumpai mayat lelaki terapung sebelum dibawa ke jeti Harbour Park untuk tindakan lanjut.
Sektor pencarian kini diperluas kepada 255.66 batu nautika persegi, melibatkan pelbagai aset laut dan udara daripada Maritim Malaysia, TLDM, Pasukan Polis Marin, JBPM dan APM.
Terdahulu, Romli berkata pihaknya dimaklumkan bahawa pihak berkuasa Thailand turut menemukan enam mayat di perairan negara itu pada semalam.
CARILAMAT hari ini ditangguhkan pada 7.30 malam berikutan cuaca gelap serta laut bergelora, dan akan disambung pagi esok.




