ad

Belanjawan Selangor 2026: MBDK harap isu banjir, jalan raya diberi keutamaan

10 Nov 2025, 2:00 PM
Belanjawan Selangor 2026: MBDK harap isu banjir, jalan raya diberi keutamaan
Belanjawan Selangor 2026: MBDK harap isu banjir, jalan raya diberi keutamaan
Belanjawan Selangor 2026: MBDK harap isu banjir, jalan raya diberi keutamaan

KLANG, 10 NOV: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) berharap Belanjawan Selangor 2026 yang bakal dibentangkan pada 14 November ini memberi tumpuan khusus terhadap usaha menangani isu banjir dan penambahbaikan infrastruktur di daerah itu.

Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain berkata masalah banjir kekal menjadi keutamaan kerana beberapa kawasan di Klang masih berdepan situasi kritikal setiap kali musim hujan.

Datuk Bandar Klang Dato' Abdul Hamid Hussain bercakap kepada media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Bersama di antara Kumpulan Acmar dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) serta melancarkan Pertandingan Reka Bentuk Antarabangsa Pelan Induk Pembangunan Bandar Baru Klang di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 10 November 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Kita berharap belanjawan kali ini dapat meningkatkan peruntukan bagi mengatasi isu banjir.

“Banyak projek telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, namun masih terdapat kawasan yang memerlukan penyelesaian jangka pendek dan panjang,” katanya ditemui dalam satu majlis di Hotel Wyndham Acmar Klang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Meru antara tujuh kawasan dikenal pasti sebagai titik banjir utama yang wajar diberi keutamaan dalam perancangan akan datang.

“Kita juga berharap Jabatan Pengairan dan Saliran menerima peruntukan mencukupi bagi kerja penyelenggaraan kolam takungan dan sistem saliran,” katanya.

Tambah Abd Hamid, MBDK turut melaksanakan beberapa inisiatif sendiri termasuk menaik taraf sistem saliran dan membina kolam takungan sementara di kawasan permainan bagi menampung air ketika hujan lebat.

“Ketika musim kering, kawasan ini boleh dijadikan taman rekreasi. Langkah ini diharap dapat membantu mengurangkan risiko banjir di Klang,” ujarnya.

Selain isu banjir, beliau turut berharap belanjawan akan memberi penekanan terhadap pembangunan infrastruktur khususnya jalan raya memandangkan Klang merupakan kawasan pelabuhan yang sibuk dengan aktiviti ekonomi.

“Kita memerlukan rangkaian infrastruktur yang lebih baik, terutamanya jalan raya yang menghubungkan kawasan pelabuhan dengan pusat bandar Klang.

“Diharapkan juga peruntukan yang besar dapat disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi kerja pembaikan dan naik taraf jalan, termasuk kemudahan asas seperti lampu jalan untuk keselesaan dan keselamatan pengguna,” katanya.

Belanjawan Selangor 2026 dijadual dibentangkan pada 14 November ini dengan fokus terhadap ketahanan fiskal, pembangunan modal insan serta pengukuhan kedudukan Selangor sebagai pemacu utama ekonomi negara.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan belanjawan berkenaan merupakan belanjawan peralihan yang bukan sahaja menutup tirai Rancangan Selangor Pertama (RS-1), malah meletakkan asas kepada Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang akan dibentangkan tahun hadapan.