SHAH ALAM, 10 NOV: Sebagai langkah pencegahan terhadap penggunaan rokok elektronik, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPN Selangor) melaksanakan Program Zero Vape Peringkat Negeri Selangor 2025 bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Utama Damansara (2) baru-baru ini.
JPN Selangor dalam kenyataan memaklumkan program itu bertujuan memberi pendidikan, bimbingan dan intervensi kepada murid selain meningkatkan kesedaran mereka tentang bahaya nikotin serta bahan kimia dalam rokok elektronik terhadap kesihatan.
“Program ini bukan sahaja memberi maklumat malah penglibatan guru dan pihak sekolah secara aktif dapat membimbing murid supaya mereka mampu membuat keputusan bijak, menjaga kesihatan serta menghormati undang-undang dan nilai moral.
Dengan pendekatan interaktif dan komprehensif, diharap program ini juga dapat memberi impak positif terhadap gaya hidup sihat murid di Selangor,” katanya di Facebook.
Menurut JPN Selangor, program ini juga sejajar dengan inisiatif “Sekolah Bebas Asap, Komuniti Prihatin” sekaligus diharapkan menjadi titik permulaan kepada gerakan lebih besar untuk membina generasi muda yang sihat, bermaruah dan berdaya tahan.





