KLANG, 10 NOV: Klang Royal City Marathon 2025 bukan sekadar pertandingan sukan, sebaliknya menjadi wadah mengeratkan hubungan masyarakat berbilang kaum sambil memupuk kesedaran terhadap gaya hidup sihat.
Peserta acara itu menyifatkan penganjuran yang meriah dan inklusif memberi peluang semua lapisan masyarakat menyertai, termasuk kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU).
R. Jeggathesan, 47, berkata sambutan luar biasa daripada pelbagai peringkat umur membuktikan masyarakat kini semakin peka terhadap kesihatan.

“Dengan adanya pelbagai kategori, semua lapisan masyarakat termasuk OKU dan kanak-kanak dapat turut serta.
“Saya pernah sertai banyak acara larian, tetapi ini antara yang terbaik. Kalau boleh, buat setiap tahun atau setiap tiga bulan,” katanya.
Sementara itu, Norfarahdatul Aida, 36, berpendapat penganjuran seumpama ini wajar dijadikan acara tahunan kerana mampu memberi kesedaran mengenai pentingnya kesihatan selain mengeratkan hubungan komuniti.
“Lokasi larian sangat strategik dan suasananya tenang. Kami seronok dapat menyertai.
“Paling menarik apabila Datuk Bandar Klang sendiri turun padang berlari bersama peserta. Ini mendekatkan lagi hubungan beliau dengan penduduk,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur atas kelancaran dan kejayaan acara yang dianggap antara paling tersusun dan menyeronokkan pernah disertainya.
Bagi Henry Lim, 47, Klang Royal City Marathon membuktikan komitmen penganjur dalam mempromosikan gaya hidup sihat secara inklusif.
“Saya datang seawal (jam) 6 pagi untuk kategori 5 kilometer (km) pun dah susah cari tempat letak kereta sebab ramai peserta.
“Saya berjalan sejauh 1.5km dari tempat parkir hingga ke garisan pelepasan. Itu pun saya dah anggap jadi ‘warm-up’ sebelum larian,” katanya berseloroh.

Henry turut memuji kehadiran Datuk Bandar yang ramah dan aktif bersama peserta, serta menilai acara kali ini berjaya menghimpunkan pelbagai bangsa dan golongan termasuk OKU dalam suasana harmoni.
“Kalau acara ini boleh dianjur setiap tahun, pasti lebih ramai akan turut serta.
“Cuma saya harap untuk penganjuran akan datang, boleh tambah papan tanda arah lencongan dan tong sampah di laluan sebab agak terhad kali ini,” katanya.





