SHAH ALAM, 9 NOV: Proksi Mahasiswa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menawarkan minyak percuma kepada 500 kenderaan warga kampus berkenaan sekiranya gerakan itu memenangi Pilihan Raya Kampus (PRK) tahun ini.
Janji itu diumumkan wakil Proksi Mahasiswa, Mukmin Nusri ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada sesi Debat Demokrasi Kampus yang diadakan sempena PRK, semalam.
Mukmin berkata, tawaran minyak percuma kepada 500 kenderaan akan dilaksana sekiranya Proksi Mahasiswa berjaya memenangi 10 daripada 13 kerusi yang dipertandingkan dalam PRK tahun ini.
Menurutnya, inisiatif tersebut merupakan salah satu usaha sebagai tanda solidariti kepada mahasiswa yang berdepan dengan peningkatan kos sara hidup, khususnya yang bergantung kepada kenderaan dalam urusan harian di kampus.
“Kami mahu perjuangan mahasiswa diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang benar-benar memberi kesan kepada kehidupan mereka.
“Tawaran ini bukan sekadar janji pilihan raya, tetapi simbol kebertanggungjawaban dan kesungguhan kami untuk terus berkhidmat kepada mahasiswa,” katanya ketika berucap.
Debat yang bertemakan 'Demokrasi Bukan Soal Majoriti, Tetapi Soal Kebertanggungjawaban' itu menjadi medan hujah antara pelbagai gerakan mahasiswa, sekali gus menampilkan idea dan gagasan yang mencerminkan kematangan politik kampus UKM.
Proksi Mahasiswa komited memperjuangkan dasar yang menitikberatkan kesejahteraan, akauntabiliti dan tanggungjawab sosial dalam pentadbiran mahasiswa, berteraskan prinsip kejujuran dan tindakan nyata.
Hari pengundian PRK UKM bagi memilih barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2025-2026 akan berlangsung esok, yang menyaksikan pertembungan beberapa gabungan yang membawa pelbagai aspirasi mahasiswa.






