ad

Dapur kotor, najis tikus dan lipas, premis makanan di Batang Kali diarah tutup

9 Nov 2025, 10:08 AM
Dapur kotor, najis tikus dan lipas, premis makanan di Batang Kali diarah tutup
Dapur kotor, najis tikus dan lipas, premis makanan di Batang Kali diarah tutup
Dapur kotor, najis tikus dan lipas, premis makanan di Batang Kali diarah tutup

SHAH ALAM,9 NOV: Sebuah premis makanan di Tamu Hill Park diarah tutup serta-merta selepas didapati kotor dan gagal mematuhi piawaian kebersihan ditetapkan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Pemeriksaan rutin oleh Bahagian Inspektorat, Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Pengurusan Alam (JPSPPA) MPHS mendapati terdapat hurungan najis tikus dan lipas di ruang dapur serta stor, selain ruang penyimpanan barang yang kotor dan berselerak.

Lebih menjijikkan, kotak telur digunakan sebagai alas papan pemotong, manakala lantai kawasan penyediaan makanan licin dan kotor. Pengendali makanan juga dikesan tidak memakai apron dan penutup kepala seperti disyaratkan.

Siasatan turut mendapati sistem perangkap sisa dan minyak tidak disenggara dengan baik, menyebabkan sisa makanan dan minyak dialirkan terus ke saluran pembetung. Bahan masakan pula tidak bertutup, tidak dilabel, malah disimpan bersama bahan kimia.

MPHS mengeluarkan notis penutupan selama 14 hari bermula 4 hingga 17 November 2025 bagi memberi ruang kepada pemilik menjalankan kerja pembersihan menyeluruh sebelum pemeriksaan semula dijalankan.

Pihak berkuasa tempatan itu menegaskan tindakan tegas seperti ini penting bagi memastikan keselamatan makanan dan kesihatan pengguna sentiasa terjamin.

“MPHS tidak akan berkompromi terhadap mana-mana premis yang mengabaikan kebersihan. Pengusaha digesa mengekalkan tahap kebersihan tinggi demi kesejahteraan komuniti serta imej perniagaan,” tegas kenyataan itu.