SHAH ALAM, 9 NOV: Empat individu ditahan, 48 motosikal disita dan 105 saman dikeluarkan dalam operasi khas di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) bagi membanteras kegiatan samseng jalanan dan lumba haram, awal pagi tadi.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata dalam operasi bermula pada 1.30 pagi itu, sebanyak 210 motosikal telah diperiksa
"Pasukan penguat kuasa bergerak ke lokasi pada pukul 1.30 pagi. Penutupan penuh di kedua-dua arah KESAS bermula 3.30 pagi melibatkan 25 simpang utama di jajaran KM18 hingga KM26, iaitu 6 kilometer dari kawasan tumpuan lumba haram.
“Semua motosikal dan penunggang terbabit dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bermula pukul 4.15 pagi untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi itu turut mendapati lima penunggang positif dadah selepas menjalani ujian saringan air kencing oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), melibatkan tiga positif ganja dan dua positif ketum.
“Pemeriksaan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap lapan motosikal pula mendapati tiga menerima notis saman kerana pengubahsuaian ekzos melebihi had bunyi dibenarkan,” katanya.
Shazeli menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan tindakan pencegahan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya di kawasan yang dikenal pasti menjadi lokasi perlumbaan haram.
Operasi yang tamat pada 9.15 pagi itu membabitkan 183 pegawai dan anggota daripada JSPT IPK Selangor, JSPT Lebuhraya Bukit Aman, Unit Risikan dan Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), JAS, AADK serta Konsesi Lebuhraya KESAS.




