SHAH ALAM, 9 NOV: Sebanyak 540.5 kilogram bahan kitar semula dan 15 unit e-sisa berjaya dikutip dalam Program Kesedaran Kitar Semula dan Kutipan E-Sisa anjuran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Dewan Terbuka Saujana Puchong, Jalan SP 8/1.
Pihak berkuasa tempatan itu menerusi Facebook berkata program yang disertai 85 penduduk sekitar Saujana Puchong dan Mutiara Indah itu diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kitar semula.
"Program ini diadakan bagi meningkatkan kesedaran penduduk serta memberi maklumat berhubung pelaksanaan program kutipan kitar semula pintu ke pintu (SELKITAR)," katanya.
Ahli Majlis Zon 17, R. Parithi Vaanan dan Pengarah Jabatan Pengurusan Alam Sekitar MBSJ, Hajah Azura Mohd Don, turut hadir bagi memberi sokongan dan menyampaikan mesej kelestarian alam sekitar.
Program tersebut turut menerima kerjasama KDEWM, Nestlé Malaysia, MK Sustainable Scrap dan Jabatan Kesihatan MBSJ yang membuka reruai pameran bertema kelestarian dan amalan hijau kepada pengunjung.
MBSJ berharap inisiatif seperti ini dapat menggalakkan penduduk terus menjadikan amalan kitar semula sebagai sebahagian daripada gaya hidup lestari, selaras dengan slogan “MBSJ Gemilang Bersama.”




