KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 23 tahun kerugian RM9,000 selepas seorang wanita yang dikenali melalui aplikasi cari kenalan mengugut akan menyebarkan rakaman video bogelnya.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Batu Caves, Rabu lalu.
“Mangsa memaklumkan berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi Tantan sebelum mereka bertukar nombor telefon dan mula berhubung melalui WeChat. Suspek kemudian menunjukkan minat dan melakukan panggilan video bersama mangsa sebelum meminta mangsa menanggalkan pakaian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, selepas panggilan itu, wanita berkenaan menghantar mesej ugutan melalui WhatsApp dan menuntut wang bagi mengelakkan rakaman video berkenaan disebarkan.
“Mangsa kemudian membuat dua bayaran melalui akaun sebuah bank digital yang diluluskan Bank Negara Malaysia (BNM), menyebabkan kerugian sebanyak RM9,000,” katanya.
Noor Ariffin berkata siasatan kini giat dijalankan bagi mengenal pasti pemilik akaun bank digital berkenaan serta nombor telefon yang digunakan suspek untuk menghubungi mangsa.




