Polis siasat kes anggota tampar penunggang motosikal di stesen minyak

12 Jan 2026, 1:13 PM
Polis siasat kes anggota tampar penunggang motosikal di stesen minyak

SHAH ALAM, 12 JAN: Individu yang menampar seorang penunggang motosikal di sebuah stesen minyak di Taman Perling, Johor Bahru, seperti dalam video yang tular di media sosial, disahkan seorang anggota polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Azrol Anuar Nor berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 6.50 petang semalam.

"Individu terbabit dikenal pasti sebagai anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara dan sedang bercuti ketika kejadian.

“Polis belum menerima laporan berkaitan insiden itu, namun mangsa terbabit sudah dikenal pasti dan usaha sedang dijalankan untuk mengesannya bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, polis memandang serius dakwaan kesalahan atau salah laku yang membabitkan pegawai dan anggota pasukan itu, sekali gus memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus, adil serta berintegriti.

"Satu siasatan dalaman telah dibuka dan tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati berlaku sebarang pelanggaran undang-undang, peraturan atau tatakelakuan yang ditetapkan," katanya.

Azrol Anuar turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung insiden berkenaan, dan mengalu-alukan kerjasama mereka yang mempunyai maklumat berkaitan untuk membantu siasatan.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 33 saat memaparkan seorang penunggang motosikal yang sedang membonceng seorang wanita, ditampar seorang lelaki didakwa sebagai anggota polis dalam kejadian di sebuah stesen minyak.