Lelaki dengan Jam

15 Ogos 2026, 1:50 AM
Lelaki dengan Jam

Oleh Abdullah Hussaini

Ilustrasi Muizzah

Seseorang yang mengetahui kadar dirinya tidak akan binasa.” Mutiara kata daripada Saidina Ali yang dinukilkan dalam buku Al-Murtadha karangan Syeikh Abul Hasan an-Nadwi itu berlegar-legar dalam fikiranku. Aku menarik sedikit langsir ke tepi sehingga cahaya pagi menerjah masuk. Aku tahu kadar diri sekarang, pasti tidak berdaya untuk keluar bersenam atau berjoging. Kalau keluar juga, akan binasalah jawabnya. Aku tahu kemampuan diri. Hanya perlu masa yang sesuai untuk benar-benar menukar tubuh badan ini menjadi lebih baik. Cuma, bukan sekarang, bukan hari ini. Aku tanggalkan jam pintar dan periksa kiraan waktu tidur semalam. Lapan jam, termasuk tidur selepas menunaikan solat Subuh. Jam pintar ini adalah hadiah daripada isteriku yang dibelinya pada bulan lepas melalui Tiktok, langsung dikirim ke alamat tempat kerjaku. Jam pintar keluaran sebuah syarikat dari China itu mempunyai pelbagai fungsi; dari mengukur kualiti tidur, degupan jantung, jarak larian sehinggalah membuat pembayaran. Cukup ajaib. Kasut larian yang dibeli beberapa tahun sudah, kelihatan nyenyak di rak hujung pintu, sama seperti tidurku malam tadi. Ini juga kubeli setelah isteriku bersungguh memintaku lebih aktif bergerak.

Pagi ini sama seperti pagi sebelumnya, aku berasa cukup sunyi. Sejak tinggal berasingan, kesunyian cukup mencengkam jiwa. Atas sebab kerja, aku kembali berseorangan di ibu kota dan isteriku pula nun jauh di utara. Kami berbual melalui video hampir setiap malam. Kadang-kadang lama, kadang-kadang hanya beberapa minit. Sejak sebulan lepas dia sering berpesan agar aku bersenam. Badanku kian tambun katanya. Mana pergi tubuh kekar dan bentuk rahang awak masa di universiti dulu? Begitu soalan yang kerap diulangnya. Awak tahu tak penyakit jantung dan kencing manis adalah penyakit paling utama dalam negara ni? Bila awak nak jaga kesihatan? Begitu pula dia selalu bertegas sambil membelalakkan mata. Aku tidak ada jawapan tuntas untuk soalan itu. Barangkali malas, tidak cukup motivasi atau terlalu mencintai makanan. Semuanya boleh menjadi penyebab kegemukanku. Namun aku tidak pernah akui semua alasan ini di depannya sebaliknya cuma berjanji bahawa zaman sihatku akan kembali apabila tiba waktu yang tepat. Aku tahu kadar diriku.

Ketika hendak kembali menarik selimut, suatu bunyi kedengaran. Seperti bunyi ‘bip’ jam pintarku. Di hujung bilik yang agak terlindung daripada terjahan cahaya mentari, berdekatan rak kasut, ada kelibat seseorang. Lelaki itu bertubuh besar dan tingginya sederhana. Perutnya menggeleber dan rambutnya pendek. Dia tertunduk mengambil kasut dan menyarungnya, kemudian berjalan sedikit, kian menghampiriku sebelum mengambil fon telinga di atas meja. Seluruh diri lelaki tersebut adalah aku. Sungguh. Semuanya sama. Dia tidak bercakap atau memandang pun ke arahku. Sejurus menekupkan fon telinga, dia keluar dari bilik. Aku hendak menahannya tetapi masih rasa hendak bermalasan, santai berbaring sambil melayari media sosial. Itu sajalah pengubat kesunyianku.

Masih ada dua jam sebelum masuk kerja syif petang. Sesudah puas berehat, aku bangun, pergi ke dapur dan panaskan mi goreng semalam. Kemudian aku goreng telur. Selesai mandi dan memakai seragam kerja, aku duduk menikmati hidangan. Jam pintar di tangan berbunyi lagi. Tertera: 12 kilometer, 2 jam, 600 kalori. Dahiku berkerut melihatnya. Cepat-cepat kuhabiskan mi goreng hingga pinggan licin. Ketika menuruni tangga, aku berselisih dengan salinan diriku tadi. Tubuhnya bercucuran peluh. Bajunya basah. Sebetulnya baju aku, kasut aku dan stoking aku. Dia termengah-mengah melangkah. Aku terus berjalan ke tempat kerja. Selesai mengimbas kehadiran, aku langsung ke stesen kerja. Hari ini lewat seminit daripada kebiasaan. Suasana di tempat kerja agak kecoh. Lim sedang memberi penerangan kepada seorang pelatih industri. Suaranya tinggi walaupun cuma hendak menjelaskan fungsi produk. Berselang-seli dengan bunyi mesin pembungkus dan bunyi mesin pencetak airway bill. Di depan aku, Zamri dan Piriya sedang menonton video, pastinya berkaitan kes tular. 

“Weh, kau ada tengok video ni?” tanya Zamri, mengunjukkan skrin telefonnya yang memaparkan video pergaduhan.

“Apa dia tu?” tanyaku.

Zamri menerangkan tentang serbuan oleh beberapa pemuda ke kawasan yang didiami pendatang asing tanpa izin. Mereka merakam video dan menegur pendatang asing yang berniaga di kawasan itu. Berlaku pergaduhan antara kedua-dua kumpulan. Tetapi kumpulan pemuda itu pula disiasat polis. Piriya pula bercerita bahawa dia menerima pesanan Whatsapp menunjukkan gambar seorang lelaki yang dipakaikan topeng oksigen, sedang nazak, berserta kapsyen menyatakan lelaki itu sedang nazak kerana dipukul oleh pendatang. 

“Makin kurang ajar mereka ni!” luah Zamri.

Aku hanya menggeleng. Lim datang dan bertanya apa yang dibualkan. Zamri dan Piriya mengulang cerita mereka, tetapi ditokok tambah sedikit bagi menyedapkan perbualan. Lim meneliti video dan gambar tersebut. 

“Ini video lama lah, bro. Orang tularkan balik, letak kapsyen baharu. Itu gambar pula, awak ada siasat betul atau tidak? Ada masuk berita rasmi? Bahaya lor, itu hari ada jiran saya, India Muslim, tapi kena kepung. Orang minta IC, lepas dia tunjuk mereka tuduh dia pendatang yang beli IC pula. Haiya,” demikian Lim mengomel hingga membuatkan kedua-dua mereka mengangkat kening. 

Bagi meredakan keadaan, aku memberikan pendapat juga. Kataku, kehadiran ramai pendatang asing memang membimbangkan dan kerajaan seharusnya melakukan sesuatu, tetapi, rakyat juga harus waspada dan tidak hanyut oleh arus fitnah. Kelihatan wajah masing-masing menzahirkan persetujuan. Sekarang, setelah setengah jam berlalu, aku pula berasa lapar. Sudah terbayang juadah-juadah yang akan dibeli, dinikmati bersama cendol atau minuman manis lainnya.

Aku pulang ke rumah ketika hari sudah gelap. Sergah petir berserta gerimis menemani langkah. Sekali lagi aku berselisih dengan salinan diriku yang sedang berlari dengan susah payah. Kasutnya, bajunya, semua milikku. Sampai di rumah, isteriku membuat panggilan video. Kami berkongsi kehidupan harian kami. Aku ceritakan apa yang terjadi di tempat kerja. Dia cuma mendengar. Namun isteriku bertanya soalan yang selalu kuterima: abang tak bersenam hari ini? Pagi tadi aku sudah punya alasan, malam ini aku katakan hujan akan turun. Skrin telefon dihalakan ke luar tingkap menunjukkan suasana hujan dan kilat. Lega, aku terselamat.

Keesokannya, aku bangun dalam keadaan mamai untuk solat Subuh. Salinan diriku sedang duduk di tepi katil, mengikat tali kasut, lalu melakukan beberapa regangan. Kemudian dia keluar macam tiada apa-apa berlaku. Hari masih sejuk hingga menggeletarkan tubuhku. Usai solat, aku sambung berbaring. Ketika terjaga dua jam berikutnya, jam pintarku memaparkan rumusan larian: 10.2 kilometer dengan durasi 2 jam.

Hari berikutnya 11.7. Kemudian 13.1. Aplikasi jam itu menyimpan semuanya berserta catatan, ‘Kemajuan anda sangat baik.’ Dan semakin lama aku dapati tubuh salinanku itu kian berubah. Pada minggu pertama, kami salin tak tumpah. Pada minggu kedua, dia kelihatan sedikit lebih tegap. Pada minggu ketiga, bahunya mula melebar. Pada minggu keempat, perut sudah mengecil dan wajahnya berubah. Dia sudah menjadi versi diriku ketika zaman belajar di universiti dahulu, versi yang sering disebut-sebut isteriku. Perlahan-lahan, keresahan menyelinap ke dalam hati. Kami sudah nampak terlalu berbeza, dia bergerak dan aku menanti. Menanti untuk menghapuskannya.

Salinan diriku itu mula bertindak lebih daripada sekadar bersenam. Dia mencuci kasut, membeli buah-buahan dan sayuran. Buku dan fail tersusun kemas di atas meja. Tingkap dibuka seawal subuh hingga angin sejuk menerkam tubuhku. Dia bahkan mula memasak dan makanan yang dimasaknya lebih sihat, kurang minyak dan memenuhi pelan diet suku-suku-separuh. Pada bulan kedua, salinanku  sudah menjadi lelaki yang sangat berlainan. Dia memakai baju yang sama, tetapi baju itu tidak lagi ketat. Tubuhnya tegap dan langkahnya mantap. Apa yang paling menakutkan, dia sudah pandai tersenyum apabila memandangku. Aku mula mengunci pintu bilik dari dalam dan katup tingkap kemas-kemas. Tetapi salinan itu tetap boleh keluar masuk. Detik yang membuatkan aku bertekad untuk benar-benar menghapuskannya muncul pada suatu pagi yakni awal subuh. Telefon bimbitku berdering dan sebelum sempat menjawab panggilan video isteriku, salinan itu sudah mengambil telefonku.

Skrin menunjukkan isteriku sedang tersenyum meleret dan kelihatan sangat gembira. Dia memuji-muji salinan diriku dan mengatakan tidak sabar untuk bertemu. Aku cuba bangun tetapi tubuhku terasa amat berat. Salinan itu menjauhi katil dan meneruskan perbualan dengan rancak. Akhirnya aku dapat bangun. Kucapai sebilah pisau, tetapi belum sempat meluru ke arahnya, salinan itu keluar dari bilik. Bilik menjadi sunyi. Buat pertama kali, aku berasa sangat resah dan marah.

Pada malam itu, aku membuat keputusan setelah berfikir dengan rapi. Aku tidak tahu apa yang akan berlaku selepas itu. Cuma aku tidak sanggup kehilangan hidup kepada seseorang yang merupai aku tetapi dalam versi yang sepatutnya hanya milikku. Ketika hari sudah tengah malam dan salinanku tidur nyenyak sepulang bersenam,  aku berdiri di hadapan katil. Selama beberapa saat, aku hanya memandang wajahku sendiri. Wajah itu kelihatan damai dan sihat. Di tanganku sebilah pisau yang kupinjam daripada Zamri. Namun sebelum sempat membenamkan pisau ke dadanya, dia membuka mata. Kami saling berpandangan. Masing-masing kaku, masing-masing menunggu salah seorang membuat keputusan. Setelah berapa minit, salinanku bangun. Dia menunjuk ke arah pergelangan tanganku. Ada jam pintar melilit. Aku merenung skrin yang memaparkan ‘0 langkah.’ Si salinan tersenyum, seakan-akan mengejek. Kemudian dia mengatakan sesuatu yang sangat perlahan sehingga aku hampir tidak mendengarnya.

“Kau boleh ikut.”

Tak ada yang bergerak kecuali bunyian pelbagai melingkari telinga—decitan tikus, dengungan lebah, nyamuk dan pepatung. “Kalau kau mahu,” tambahnya lagi.

Selepas itu dia keluar dari bilik. Aku masih berdiri, terkebil-kebil. Di luar, sayup-sayup kicauan burung menggantikan bunyian tadi. Aku memandang kasut larian di bawah meja. Aku mengambil kasut tersebut dan memakainya. Pagi masih dingin dan gelap. Jalan kosong dan sunyi. Aku membuka pintu. Salinanku sudah menunggu di hujung koridor. Kami mula berjalan, dia di depan aku di belakang. Di pergelangan tangan, jam pintar mula menyala. 1 langkah, kemudian 2 langkah, kemudian 3 langkah. Kami tidak bercakap langsung. Di belakang, rumah sewaku kian mengecil manakala di hadapan, hari perlahan-lahan bertukar terang. Jam pintar terus mencatat pergerakan langkah demi langkah. Pergerakan dilajukan sedikit hingga mencapai jarak beberapa ratus meter. Peluh pun mula terbit di sana sini. Aku terkenangkan mutiara kata Saidina Ali, dan terfikir barangkali aku salah faham terhadap kata-kata itu, atau tanpa sedar memanipulasinya demi kepuasan nafsu. Tiba-tiba isteriku membuat panggilan video dan segera kujawab panggilan itu. Dia nampak sangat tekejut melihat penampilanku. 


Kategoriseni budaya

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.