SHAH ALAM, 9 NOV: Dewan Negeri Selangor (DNS) bukan sekadar institusi penggubalan undang-undang, malah menjadi simbol kematangan politik negeri.
Speaker Lau Weng San berkata DNS turut berperanan sebagai wadah perbahasan idea dan suara rakyat yang disalurkan melalui Ahli Dewan Negeri (ADN).
“Dengan komitmen setiap ADN dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing, DNS menjadi lambang kematangan politik serta kecemerlangan tadbir urus negeri.
“Keberkesanan sistem ini membuktikan kemajuan Selangor hari ini berpaksikan prinsip demokrasi yang kukuh, berpandukan undang-undang, serta dipimpin dengan bijaksana oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku sebagai payung kedaulatan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan sempena Majlis Santapan Malam Ulang Tahun ke-66 Dewan Negeri Selangor di Hotel Concorde di sini malam tadi.
Turut mencemar duli berangkat ialah DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.
Dalam pada itu, Weng San menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada semua mantan ADN serta warga kerja pentadbiran negeri yang banyak berjasa dalam menegakkan prinsip demokrasi dan berkhidmat untuk rakyat.
Jelasnya, pembentukan DNS pada 1959 meletakkan asas kukuh bagi amalan konsep demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang masih diamalkan hingga hari ini.
“DNS telah melalui pelbagai cabaran, namun ia sentiasa teguh berdiri, beradaptasi dan kekal relevan dengan peredaran zaman. Sebagai contoh, pindaan terhadap Peraturan Tetap telah dilaksanakan bagi mengharmonikan peraturan sedia ada sejajar dengan keperluan semasa,” katanya.






