ad

Belanjawan Selangor 2026: ADN Rawang saran latihan kemahiran tinggi jadi fokus

9 Nov 2025, 3:01 AM
Belanjawan Selangor 2026: ADN Rawang saran latihan kemahiran tinggi jadi fokus
Belanjawan Selangor 2026: ADN Rawang saran latihan kemahiran tinggi jadi fokus
Belanjawan Selangor 2026: ADN Rawang saran latihan kemahiran tinggi jadi fokus
Belanjawan Selangor 2026: ADN Rawang saran latihan kemahiran tinggi jadi fokus

SHAH ALAM, 9 NOV: Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Chua Wei Kiat menyarankan Belanjawan Selangor 2026 memberi tumpuan khusus kepada latihan dan pembangunan kemahiran tinggi, sejajar usaha Kerajaan Negeri menarik pelaburan industri bernilai tinggi sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, Selangor kini memasuki tahun ketiga pelaksanaan dasar galakan pelaburan yang bermula pada 2022, dengan hasil positif mula kelihatan melalui penubuhan Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC Design Park) dan Pusat Reka Bentuk Kecerdasan Buatan (AI Design Centre).

“Cabaran utama sekarang ialah bagaimana Selangor sebagai pusat ekonomi dan hab perdagangan negara dapat memaksimumkan hasil daripada dasar pelaburan ini,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau menjelaskan bahawa peningkatan jumlah pelaburan mewujudkan banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi, namun kekangan wujud apabila tenaga kerja tempatan belum cukup bersedia mengisi kekosongan tersebut.

“Kini kita dapat lihat banyak syarikat berimpak tinggi menawarkan gaji lumayan, tetapi tidak semestinya terdapat tenaga kerja mencukupi atau calon yang sesuai untuk mengisi kekosongan tersebut,” ujarnya lagi.

Chua turut menekankan bahawa cabaran tenaga kerja masa kini bukan lagi isu ‘hijrah bakat’ (brain drain) seperti dahulu, sebaliknya berubah kepada ‘kekurangan bakat’ (talent shortage).

Beliau memberi contoh penubuhan Pusat Reka Bentuk AI serta kemasukan kilang besar di Rawang yang menawarkan peluang pekerjaan dengan gaji sehingga RM3,000, namun persoalan utama ialah tahap kesediaan rakyat menyertai ekonomi digital ini.

Justeru, beliau menggesa Kerajaan Negeri menumpukan kepada latihan berkemahiran tinggi untuk belia, khususnya dalam bidang teknologi, automasi dan industri digital.

“Latihan sebegini penting bagi memastikan bakat tempatan mampu bersaing dan memberi impak jangka panjang terhadap pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Belanjawan Selangor 2026 akan dibentangkan 14 November ini dengan fokus kepada ketahanan fiskal, pembangunan modal insan dan pengukuhan kedudukan Selangor sebagai pemacu utama ekonomi negara.

Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini menyatakan bahawa belanjawan tersebut merupakan ‘belanjawan peralihan’ yang bukan sahaja menutup tirai Rancangan Selangor Pertama (RS-1), malah meletakkan asas kepada Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang akan dibentang tahun hadapan.