ad

JPN permudah urusan kad pengenalan menerusi Program MEKAR Ihsan

8 Nov 2025, 1:23 PM
JPN permudah urusan kad pengenalan menerusi Program MEKAR Ihsan
JPN permudah urusan kad pengenalan menerusi Program MEKAR Ihsan
JPN permudah urusan kad pengenalan menerusi Program MEKAR Ihsan
JPN permudah urusan kad pengenalan menerusi Program MEKAR Ihsan
JPN permudah urusan kad pengenalan menerusi Program MEKAR Ihsan

SHAH ALAM, 8 NOV: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor mengambil langkah proaktif memudahkan urusan masyarakat memperbaharui kad pengenalan diri melalui Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Ihsan, yang memberi tumpuan kepada warga emas, pesakit terlantar, Orang Kelainan Upaya (OKU) serta masyarakat Orang Asli.

Pengarahnya, Muhammad Hafiz Abdul Rahim berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pelbagai agensi atau pertubuhan dalam menjayakan program itu bagi memastikan golongan berkeperluan tidak tercicir dalam mendapatkan perkhidmatan JPN.

“Kami akan menerima sesiapa sahaja yang membuat permohonan kepada JPN untuk menganjurkan program seperti ini. Kami tidak memilih, cuma perlu menilai keutamaan berdasarkan keadaan semasa kerana permohonan sangat banyak,” katanya.

Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor Muhammad Hafiz Abdul Rahim bercakap kepada media selepas Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di Rumah Seri Kenangan Cheras, Kajang pada 8 November 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program MEKAR Ihsan Rumah Seri Kenangan, Cheras, hari ini.

Menurut Hafiz, JPN Selangor komited memastikan setiap perkhidmatan yang ditawarkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat, selaras dengan matlamat jabatan untuk memenuhi hak dan keperluan masyarakat.

“JPN akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka yang memerlukan. Fokus utama kami ialah memastikan semua golongan mendapat hak identiti diri secara sah,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan waris agar menyimpan dokumen peribadi warga emas dengan baik bagi mengelakkan kesulitan apabila berurusan di pejabat JPN.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan bahawa stok cip kad pengenalan mencukupi, malah sebahagian besar urusan penggantian kad di pejabat JPN seluruh negara kini boleh disiapkan dalam tempoh sehari.

Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor Muhammad Hafiz Abdul Rahim (berdiri, dua kanan) beramah mesra bersama warga emas dalam Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di Rumah Seri Kenangan Cheras, Kajang pada 8 November 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR