SHAH ALAM, 8 NOV: Lebih 60 rumah rosak dan 13 kejadian pokok tumbang dilaporkan berlaku di sekitar Kuantan akibat kejadian ribut malam tadi.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Kuantan Mejar Zahidi Zainudin berkata ribut yang berlaku sekitar 7.30 malam itu membabitkan Taman Tanah Putih, Bukit Setongkol dan Taman Cenderawasih, lapor Harian Metro.
"Setakat 10 pagi ini, sebanyak 40 laporan kerosakan rumah diterima di Taman Tanah Putih manakala 20 lagi di Bukit Setongkol dan Taman Cenderawasih.
“Jumlah sebenar premis yang terkesan serta anggaran nilai kerugian masih dalam proses bancian," katanya.
Beliau berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan.




