SHAH ALAM, 9 NOV: Masyarakat India di Selangor berharap Kerajaan Negeri memberi perhatian terhadap pembinaan pusat komuniti baharu bagi melancarkan pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan dan kejiranan di kawasan setempat.
Ketua Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal, Sivakumar Muthu @ Arunasalam, berkata kemudahan itu penting untuk memperkukuh hubungan masyarakat dan menjadi pusat pelaksanaan pelbagai program sosial.
“Setiap kawasan yang mempunyai 10,000 penduduk perlu ditambah Pusat Komuniti Kaum India serta disediakan balai raya khas,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau turut berharap cadangan berkenaan dapat dipertimbangkan menjelang pembentangan Belanjawan Selangor 2026 memandangkan kemudahan sedia ada tidak lagi dapat menampung keperluan penduduk.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa inisiatif baharu bernilai RM42.25 juta khusus untuk manfaat masyarakat India, termasuk program tuisyen percuma serta pemberian komputer riba menerusi inisiatif Peranti Siswa.
Langkah tersebut dijangka memperkukuh pembangunan sosial dan pendidikan masyarakat India seiring agenda Malaysia Madani.




