322 peserta Hari Keluarga keracunan makanan, dapur taman tema ditutup sementara - JKNS

7 Nov 2025, 2:00 PM
322 peserta Hari Keluarga keracunan makanan, dapur taman tema ditutup sementara - JKNS

SHAH ALAM, 7 NOV: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan berlaku keracunan makanan melibatkan peserta program Hari Keluarga sebuah agensi kerajaan di sebuah taman tema di negeri ini pada 4 Oktober lalu.

Menurut JKNS, notifikasi kejadian diterima pada 6 Oktober melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling.

Hasil siasatan mendapati seramai 322 individu daripada 4,710 peserta (6.8 peratus) mengalami gejala seperti cirit-birit, muntah dan sakit perut.

Majoriti mangsa ialah golongan dewasa (92 peratus), manakala selebihnya terdiri daripada kanak-kanak dan remaja.

“Semua kes telah mendapatkan rawatan dan tiada pesakit dimasukkan ke wad atau ICU. Tiada kematian dilaporkan,” menurut kenyataan JKNS, hari ini.

Siasatan lanjut mendapati keracunan berpunca daripada pencemaran makanan dan peralatan memasak yang digunakan semasa penyediaan hidangan.

“Antara faktor penyumbang termasuk penyediaan makanan dalam kuantiti besar oleh bilangan pengendali yang terhad, penyimpanan makanan terlalu lama sebelum dihidangkan dan kemungkinan pencemaran silang semasa proses penyediaan,” katanya.

JKNS turut mengesahkan makanan tercemar itu berasal dari dapur premis taman tema berkenaan.

Sebagai langkah kawalan, JKNS menutup sementara dapur berkenaan untuk kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman.

Namun, penutupan keseluruhan taman tema tidak dilaksanakan kerana kejadian tersebut bukan berpunca daripada faktor persekitaran di kawasan tersebut.

“Dapur hanya dibenarkan beroperasi semula selepas disahkan bersih dan mematuhi semua keperluan keselamatan makanan,” tambahnya.

JKNS turut mengadakan sesi libat urus bersama pengurusan taman tema dan penganjur program bagi memperkukuh amalan kebersihan makanan.

Terdahulu, media melaporkan lebih 800 kakitangan dan ahli keluarga sebuah agensi kerajaan dilaporkan mengalami keracunan makanan selepas menghadiri program Hari Keluarga di sebuah taman tema terkenal di negeri ini pada 4 Oktober lalu.

Insiden berkenaan bagaimanapun mengundang tanda tanya apabila JKNS didakwa masih belum mendedahkan hasil siasatan penuh, meskipun insiden telah berlaku lebih sebulan.