SHAH ALAM, 20 JULAI: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan pesakit yang dikaitkan dengan mesej tular mengenai kes leptospirosis atau kencing tikus di kawasan rekreasi air di negeri ini tidak dijangkiti penyakit itu selepas keputusan ujian makmal diperoleh.
Jabatan itu memaklumkan pesakit berkenaan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di Selangor pada 7 Julai lalu selepas disyaki secara klinikal menghidap leptospirosis.
"Namun begitu, ujian makmal adalah negatif bagi jangkitan leptospirosis. Pesakit tersebut kini stabil dan beliau telah dipindahkan ke wad biasa untuk menerima rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
JKNS turut memaklumkan sebanyak 127 kes leptospirosis disahkan melalui ujian makmal di Selangor bagi tempoh 2024 hingga 2026 tanpa menunjukkan pola taburan khusus, selain tiada kes kematian direkodkan.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 26 kes atau 21 peratus mempunyai kaitan dengan aktiviti rekreasi air," katanya.
Menurut JKNS, tiga lokasi rekreasi air di Selangor yang sering dikaitkan dengan kejadian leptospirosis ialah Taman Eko Rimba Sungai Kanching di Gombak, Air Terjun Sungai Congkak di Hulu Langat dan Sungai Ulu Yam di Hulu Selangor.
"Bagi mengurangkan risiko penularan penyakit, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terlibat telah menjalankan penilaian risiko di lokasi kejadian, mengambil sampel air dan tanah untuk analisis serta memastikan penyediaan papan tanda amaran oleh pihak berkuasa tempatan atau pengusaha premis," katanya.
Selain itu, katanya, pengurusan sisa pepejal diperkukuh dan kerja-kerja pembersihan persekitaran dilaksanakan secara berkala bagi mengurangkan risiko penularan penyakit.
"Jabatan ini akan terus memantau perkembangan kejadian penyakit leptospirosis di negeri ini secara rapi dan sentiasa bersiap siaga dalam melaksanakan langkah-langkah kawalan dan pencegahan bersama agensi-agensi berkaitan," katanya.
JKNS menjelaskan penyakit kencing tikus ialah penyakit zoonosis yang disebabkan oleh bakteria Leptospira dan boleh berjangkit daripada haiwan kepada manusia melalui pendedahan kepada air, tanah atau makanan yang tercemar dengan air kencing haiwan yang dijangkiti.
"Gejala awal penyakit itu termasuk demam, sakit kepala, sakit otot terutama pada betis, menggigil, loya, muntah, cirit-birit dan mata merah.
"Jika tidak dirawat lebih awal, ia boleh menyebabkan komplikasi serius seperti kegagalan buah pinggang, kerosakan hati dan pendarahan paru-paru," katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya menjaga kebersihan persekitaran, mengelakkan aktiviti rekreasi air sekiranya mempunyai luka terbuka, menutup luka dengan pembalut kalis air jika perlu melakukan aktiviti air serta tidak menggunakan air sungai yang tidak dimasak.
"Orang ramai juga diseru agar mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala yang disyaki berkaitan dengan leptospirosis selepas mengunjungi kawasan rekreasi air," katanya.







