Hospital Kapar dijangka siap Mac 2027, sedia 312 katil

9 Ogos 2026, 9:00 AM
Hospital Kapar dijangka siap Mac 2027, sedia 312 katil

SHAH ALAM, 9 OGOS: Hospital Kapar yang dibina dengan kos RM831 juta dijangka siap pada 26 Mac tahun hadapan.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan hospital berkapasiti 312 katil itu kini mencatatkan kemajuan fizikal yang memuaskan dan menghampiri sasaran jadual pelaksanaan.

Status pembinaan projek itu diteliti menerusi lawatan kerja Ketua Setiausaha KKM Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad ke tapak pembinaan Hospital Kapar, baru-baru ini.

Menurut KKM, beliau diberi taklimat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berhubung perkembangan semasa projek.

Ketua Setiausaha KKM Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (dua, kiri) mendengar taklimat mengenai perkembangan projek pembinaan Hospital Kapar ketika mengadakan lawatan kerja, baru-baru ini. Foto FACEBOOK KKM

"Lawatan itu bagi membolehkan kementerian meneliti secara menyeluruh status pelaksanaan projek, mengenal pasti isu-isu yang masih berbangkit serta menyelaraskan tindakan susulan antara semua pihak yang terlibat," menurut kenyataan itu.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM Dato' Dr Mohd Azman Yacob dan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Dr Ummi Kalthom Shamsudin serta wakil KKM dan JKR.

KKM memaklumkan perbincangan turut memberi tumpuan kepada kemajuan semasa projek dan keperluan peruntukan tambahan bagi memastikan penyediaan fasiliti hospital tidak terjejas.

"Selain itu, status perjawatan bagi menyokong perancangan sumber manusia sebelum hospital mula beroperasi serta perolehan peralatan turut dibincangkan.

"Langkah itu bagi memastikan persediaan operasi Hospital Kapar dapat dilaksanakan mengikut perancangan," katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.