SHAH ALAM, 7 NOV: Acara sukan rakyat yang diadakan sempena Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja Selangor mencipta suasana penuh ceria dan harmoni apabila rakyat pelbagai lapisan berpeluang berinteraksi secara dekat bersama keluarga diraja.
Selain menghidupkan semangat kekitaan dan perpaduan, penganjuran acara itu turut menjadi platform memperkukuh hubungan antara istana dan rakyat jelata dalam suasana santai dan beradab.
Kehadiran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bersama isteri, Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz, menyerikan pelbagai acara sukan rakyat dan permainan tradisional, menzahirkan peribadi baginda berdua yang mesra, rendah diri serta dekat di hati rakyat.
Penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN Kuang, Norlia Ariffin, berkata program seperti itu sangat bermakna kerana memberi peluang kepada rakyat untuk memeriahkan sambutan diraja bersama-sama.
“Program ini sangat bagus untuk rakyat. Ini kali pertama kami dapat berkumpul bersama pengantin diraja dan suasananya sangat meriah serta menggembirakan,” katanya.

Norlia turut berharap lebih banyak program diraja seperti itu dianjurkan bagi mengeratkan hubungan antara rakyat dan institusi diraja.
“Perlu banyakkan lagi program sebegini supaya rakyat lebih dekat dengan kerabat diraja. Sukan rakyat juga menggamit kenangan zaman muda dan memberi nostalgia apabila dapat bermain permainan tradisional semula,” ujarnya.
Sementara itu, Penghulu Mukim Daerah Kuala Langat, Sharif Ahmad, menyifatkan sukan rakyat sebagai medium terbaik memperkenalkan semula permainan tradisional kepada generasi muda.

“Pelbagai aktiviti menarik dapat mempopularkan kembali permainan tradisional yang mungkin tidak pernah mereka lihat sebelum ini,” katanya.
Beliau menjelaskan penyertaan dalam acara sebegini bukan berorientasikan kemenangan semata-mata, sebaliknya berperanan memperkukuh silaturahim dan keharmonian masyarakat.
“Bukan tujuan nak menang, tapi untuk eratkan hubungan dan bersantai bersama. Dalam masa sama, kita meraikan pengantin diraja dengan penuh rasa hormat,” ujarnya.
Bagi peserta, Vijay Kondiah, pengalaman menyertai program itu amat istimewa kerana buat pertama kali dapat bersama pengantin diraja dalam suasana santai dan mesra.

“Saya rasa bangga dapat sertai acara ini. Bukan saja seronok, tapi ia juga mengukuhkan perpaduan antara rakyat pelbagai kaum dengan kerabat diraja,” katanya.
Acara sukan rakyat itu bukan sahaja menghidupkan warisan dan nilai tradisi, malah berjaya mengukuhkan hubungan erat antara institusi diraja dan rakyat.
Ia menjadi bukti bahawa semangat perpaduan dan kasih sayang terus subur dalam kalangan masyarakat pelbagai bangsa di Malaysia.








