ad

Yayasan GE Vernova sumbang RM4.5 juta bantu lahir pekerja mahir industri tenaga

7 Nov 2025, 1:08 PM
Yayasan GE Vernova sumbang RM4.5 juta bantu lahir pekerja mahir industri tenaga

SHAH ALAM, 7 NOV: Dalam usaha melahirkan generasi baharu pemimpin tenaga di Malaysia, Yayasan GE Vernova mengumumkan pemberian geran bernilai lebih AS$950,000 (RM4.5 juta) kepada Assist International bagi melaksanakan program biasiswa latihan vokasional dan teknikal selama tiga tahun.

Program yang dinamakan Biasiswa Kemahiran Industri Tenaga GE Vernova itu menawarkan dua pensijilan diiktiraf peringkat kebangsaan dalam bidang kemahiran berpermintaan tinggi, menyasarkan 500 pelajar dan pekerja sedia ada dalam industri tenaga.

Biasiswa itu merangkumi yuran pengajian, peralatan latihan serta kemudahan sokongan seperti penginapan, makanan dan pengangkutan, sekali gus membantu menghapuskan halangan kewangan bagi penyertaan golongan berpendapatan rendah.

Presiden dan Ketua Pegawai Komunikasi Yayasan GE Vernova, Kristin Carvell, berkata program itu akan memperkasa pelajar dengan kemahiran bagi mendapatkan pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi.

“Biasiswa ini membantu membina masa depan tenaga mampan dan memberi manfaat kepada keluarga serta masyarakat di Malaysia dan dunia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Yayasan GE Vernova, Ramesh Singaram, yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Gas Power Asia, berkata program tersebut bakal membuka peluang baharu kepada rakyat Malaysia menerusi latihan kemahiran yang menjamin kebebasan kewangan.

“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Assist International dan Persekutuan Pusat Pembangunan Kemahiran Malaysia (FMSDC) dalam menyediakan laluan kerjaya bergaji lumayan serta memperkukuh tenaga kerja tempatan,” ujarnya.

Ditubuhkan pada 1990, Assist International adalah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang melaksanakan program pembangunan mampan di lebih 50 negara.

Di Malaysia, mereka akan bekerjasama dengan FMSDC bagi memperkukuh pendidikan teknikal dan vokasional.

Sementara itu Pengerusi FMSDC, Hallman Sabri, berkata inisiatif itu akan membantu rakyat Malaysia, khususnya golongan kurang berkemampuan memperoleh kemahiran kritikal seperti sistem elektrik dan kimpalan yang amat diperlukan dalam peralihan tenaga negara.

“Program ini membantu menutup jurang sosial, menyokong kemajuan kerjaya serta membina tenaga kerja inklusif yang menyumbang kepada masa depan tenaga lestari Malaysia,” katanya.

Malaysia kini memerlukan ribuan juruteknik, juruelektrik dan jurukimpal bagi menyokong sasaran sifar bersih menjelang 2050 di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Yayasan GE Vernova turut menyasarkan melatih 30,000 pelajar menjelang 2030 melalui pelbagai program global yang memanfaatkan lebih 5,700 pelajar di seluruh dunia setakat ini.

Dengan pengalaman luas membekalkan 40 peratus keperluan tenaga elektrik negara, GE Vernova berada dalam kedudukan kukuh untuk menyokong Malaysia mencapai matlamat peralihan tenaga hijau dan kelestarian jangka panjang.