ad

Pelancong ke Selangor meningkat, sektor pelancongan jana RM11.4 bilion

7 Nov 2025, 8:15 AM
Pelancong ke Selangor meningkat, sektor pelancongan jana RM11.4 bilion
Pelancong ke Selangor meningkat, sektor pelancongan jana RM11.4 bilion
Pelancong ke Selangor meningkat, sektor pelancongan jana RM11.4 bilion

SHAH ALAM, 7 NOV: Selangor merekodkan peningkatan jumlah pelancong sebanyak 13.8 peratus sempena Tahun Melawat Selangor 2025, membuktikan usaha promosi pelancongan negeri terus membuahkan hasil.

EXCO Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim berkata Selangor menerima 4.14 juta pelancong sehingga Jun tahun ini berbanding 3.64 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, 72 peratus merupakan pelancong domestik manakala 28 peratus terdiri daripada pelancong antarabangsa yang bermalam di negeri ini.

“Dari Januari hingga Jun, hasil pendapatan pelancongan Selangor mencecah RM11.4 bilion,” katanya selepas merasmikan Majlis Graduasi Hos Komuniti Setempat Selangor bagi daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor, baru-baru ini.

Sementara itu, seramai 49 individu dari Kuala Selangor dan Sabak Bernam menerima sijil kelayakan pemandu pelancong selepas menamatkan latihan intensif tiga bulan yang merangkumi modul asas promosi pelancongan, pemahaman budaya tempatan serta kemahiran komunikasi.

“Pelantikan hos komuniti setempat dijangka menarik antara 5,000 hingga 10,000 pelancong ke Kuala Selangor dan Sabak Bernam setiap tahun.

“Antara tarikan utama pelancong ialah aktiviti membeli-belah, restoran serta pengalaman unik yang ditawarkan di Selangor,” kata Suee Lim.

Terdahulu, Selangor menyasarkan peningkatan pelancong antarabangsa kepada 35 peratus pada 2026 sebagai langkah memperkukuh sektor pelancongan yang menjadi antara penyumbang utama pertumbuhan ekonomi negeri.