ad

Rangkaian Penjagaan Selangor buka peluang masyarakat sumbang idea ekonomi penjagaan

7 Nov 2025, 7:28 AM

SHAH ALAM, 7 NOV: Masyarakat khususnya pengasuh dan penyedia perkhidmatan penjagaan berpeluang menyumbang pandangan dalam pembentukan dasar berkaitan ekonomi penjagaan menerusi Rangkaian Penjagaan Selangor.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata rangkaian itu bertujuan mewujudkan ruang dialog antara pihak berkepentingan termasuk penjaga, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), akademik serta sektor swasta bagi memperkukuh dasar negeri.

“Rangkaian Penjagaan Selangor adalah rangkaian bagi membolehkan sesi dialog dan perkongsian pandangan antara semua pihak berkepentingan,” katanya, lapor Malay Mail.

Beliau berkata, portal rasmi SEJAGAT milik Kerajaan Negeri akan diperluas dengan laman mikro khas Rangkaian Penjagaan Selangor, yang berfungsi sebagai papan buletin dan direktori digital bagi memudahkan ahli rangkaian berhubung serta berkongsi maklumat terkini.

“Melalui laman itu, rakan rangkaian boleh berhubung antara satu sama lain, berkongsi maklumat dengan penyelidik atau badan antarabangsa seperti UNICEF, UNDP, UN Women dan Bank Dunia,” jelasnya.

Rangkaian tersebut dilancarkan 9 Oktober lalu dan penyertaan dibuka kepada penjaga formal serta tidak formal, badan bukan kerajaan, institusi penyelidikan, sektor swasta, pihak berkuasa tempatan serta badan antarabangsa. Pendaftaran boleh dibuat melalui laman web www.selangorcaresummit.com.

Antara manfaat penyertaan termasuk meneroka peluang kerjasama, berkongsi data, memperkukuh jaringan strategik serta menyumbang kepada perancangan dasar penjagaan inklusif dan inovatif di Selangor.

Anfaal menjelaskan, rangkaian itu merupakan sebahagian daripada pelan Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor 2024–2030, yang bertujuan menjadikan Selangor hab serantau ekonomi penjagaan.

Ketika ini, Wanita Berdaya Selangor (WBS) di bawah seliaan Anfaal bertanggungjawab mengurus Rangkaian Penjagaan Selangor, sementara Selgate Corporation membantu melaksanakan beberapa inisiatif berkaitan dasar tersebut.