SHAH ALAM, 7 NOV: Kerajaan Negeri digesa menambah peruntukan bagi membantu komuniti India melalui Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-Seed) yang terbukti berkesan memperkasa ekonomi masyarakat setempat.
Ketua Komuniti India Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai, K Saraswathy Devi, berkata peningkatan dana amat diperlukan agar lebih ramai usahawan kecil dapat mengembangkan perniagaan mereka dan keluar daripada kelompok berpendapatan rendah.
“Saya menyeru Kerajaan Negeri meningkatkan dana I-Seed supaya lebih ramai peniaga kecil dapat mengembangkan perniagaan mereka.
“Selain itu, peruntukan khas juga wajar disediakan kepada pelajar lepasan universiti yang berhasrat memulakan perniagaan sendiri,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau turut mencadangkan supaya Kerajaan Negeri memperluas program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di universiti tempatan bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan dalam kalangan belia India.
Program I-Seed yang diteruskan tahun ini melibatkan peruntukan RM1 juta, manakala setakat tahun lalu seramai 410 usahawan India menerima manfaat dengan jumlah keseluruhan bantuan bernilai RM2.31 juta.
Syarat kelayakan I-Seed:
- Rakyat Selangor atau bermastautin lebih 10 tahun
- Pendapatan individu atau isi rumah bawah RM3,000 sebulan
- Perniagaan mesti beroperasi di Selangor




