SHAH ALAM, 6 NOV: Sebuah premis disyaki memproses bahan logam tanpa kebenaran di Bestari Jaya diserbu dalam operasi bersepadu diketuai Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bersama beberapa agensi penguat kuasa, semalam.
Operasi itu turut melibatkan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
MPHS memaklumkan, TNB bertindak memotong bekalan elektrik ke premis berkenaan, manakala LUAS memutuskan bekalan air serta merampas pam yang digunakan untuk menyedut air bawah tanah.

"Beberapa peralatan di kawasan pemprosesan dan rumah pekerja di lokasi tersebut turut disita," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Premis sama pernah dikenakan tindakan sitaan dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 26 Februari lalu.
MPHS menegaskan akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana aktiviti perindustrian haram demi kesejahteraan penduduk setempat.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan ini diminta menyalurkannya melalui saluran rasmi MPHS.




