SHAH ALAM, 6 NOV: Golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar kini berpeluang memohon bantuan di bawah Program Bina Baharu dan Baik Pulih Rumah Bandar (PPKB) 2026 anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sehingga 15 November ini.
Program ini memberi tumpuan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) atau Ahli Isi Rumah (AIR) dalam kumpulan B40 yang menetap di kawasan operasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan disahkan sebagai miskin tegar, miskin atau terkeluar dalam sistem eKasih.
Bagi pemohon yang tidak berdaftar dalam eKasih, pengesahan boleh dibuat melalui Mesyuarat Focus Group Pembasmian Kemiskinan Peringkat Negeri atau Daerah, dengan salinan minit mesyuarat perlu dikemukakan bersama permohonan.
Untuk kategori baik pulih rumah, bantuan diberikan kepada rumah jenis hartanah kediaman bertanah seperti rumah sesebuah, teres atau berkembar. Pembaikan hanya melibatkan komponen asas rumah seperti bumbung, siling, lantai, tandas, dapur, pintu, tingkap, sistem paip dan pendawaian elektrik, tanpa melibatkan struktur utama bangunan.
Manakala bagi kategori bina baharu rumah, pemohon mesti mempunyai tanah milik sendiri atau mendapat kebenaran bertulis daripada pemilik tanah sekiranya ingin membina di tapak lain. Bantuan ini ditawarkan kepada isi rumah yang mengalami kerosakan teruk akibat musibah seperti kebakaran atau banjir.
Permohonan tidak akan dipertimbangkan sekiranya melibatkan rumah sewa, rumah setinggan, pembesaran ruang sedia ada, atau penerima bantuan terdahulu kecuali bagi kes musibah.
Borang permohonan lengkap perlu disertakan dokumen berikut:
Salinan kad pengenalan pemohon,
Gambar rumah (pandangan luar),
Gambar kerosakan dengan keterangan jelas, dan
Dokumen pengesahan berkaitan (eKasih atau minit mesyuarat).
Permohonan boleh dihantar ke: Bahagian Kesejahteraan Komuniti, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aras 15, No.51, Persiaran Perdana, Presint 4, 62100 Putrajaya.
Program ini menjadi antara usaha berterusan kerajaan dalam membantu golongan miskin bandar memiliki kediaman yang lebih selesa dan kondusif.




