KLANG, 6 NOV: Kampung Bagan Pulau Ketam dinobat sebagai Kampung Baru Terbaik Selangor 2025, hasil usaha bersepadu penduduk memperindah persekitaran dan memelihara alam sekitar menerusi program anjuran Kerajaan Negeri.
Menariknya, kampung tersebut turut merangkul Anugerah Kampung Baru Terindah, menjadikannya ikon ekopelancongan baharu di negeri ini.
Ketua Kampungnya, Chua Kim Lin berkata kemenangan tersebut menjadi kebanggaan penduduk yang komited menjaga keseimbangan antara ekologi dan pelancongan.
“Pulau Ketam ialah kampung berasaskan ekopelancongan. Dalam usaha mencantikkan kampung, kami sentiasa menitikberatkan keseimbangan antara ekologi dan pelancongan.
“Selaras dengan rancangan pembangunan Kerajaan Negeri, kami mahu menjadikan perkampungan nelayan ini sebagai destinasi pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Kampung Baru Terbaik Selangor 2025 di sini, malam tadi.

Menurut Kim Lin, kerja mencantikkan kampung mengambil masa antara satu hingga dua bulan, termasuk pembaikan dewan dan jambatan, hiasan landskap paya bakau serta penaiktarafan jalan raya.
“Dulu jalan di pulau ini kebanyakannya diperbuat daripada papan. Sekarang semuanya sudah diganti dengan jalan konkrit dan simen yang lebih selamat dan tahan lama, selain menjadikan persekitaran lebih bersih dan indah,” ujarnya.
Tambahnya, pertandingan itu mendorong penduduk bekerjasama menjaga kebersihan dan memperindah kampung secara sukarela.
“Pertandingan ini mengajar kami bahawa keindahan kampung hanya boleh dicapai melalui usaha bersama. Kami akan terus mengadakan kempen kebersihan sebagai persiapan menyambut Tahun Melawat Selangor dan Tahun Melawat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Kampung Sekinchan Site C muncul naib juara selain menerima Anugerah Teknologi dan bergelar johan daerah Sabak Bernam.
Ketua kampungnya, Gan Kian Yong menyifatkan kejayaan itu hasil kerjasama erat penduduk dalam memperindah kawasan perkampungan mereka.
“Kami mengambil masa sebulan membuat persiapan termasuk menaik taraf laluan, membina pintu gerbang dan menghias pokok palma sebagai pagar semula jadi.
"Apabila kampung kelihatan lebih cantik, penduduk turut terdorong menjaga kebersihan,” katanya.
Senarai pemenang daerah:
• Klang: Kampung Bagan Pulau Ketam
• Gombak: Kampung Stesen Kuang
• Hulu Langat: Kampung Baru Bukit Angkat
• Sepang: Kampung Baru Sepang Jaya
• Kuala Langat: Kampung Baru Sungai Jarom
• Kuala Selangor: Kampung Bagan Sungai Yu
• Sabak Bernam: Kampung Baru Sekinchan Site C
• Petaling: Kampung Baru Seri Setia
• Hulu Selangor: Kampung Asam Kumpang
Lima penerima Anugerah Khas:
• Anugerah Dato’ Ng Suee Lim: Kampung Baru Seri Setia
• Anugerah Inovasi: Kampung Baru Sepang
• Anugerah Teknologi: Kampung Site C Sekinchan
• Anugerah Terbersih: Kampung Baru Kuang
• Anugerah Keindahan: Kampung Nelayan Pulau Ketam




