KLANG, 6 NOV: Kampung Bagan Pulau Ketam dinobat sebagai Kampung Baru Terbaik Selangor 2025 hasil komitmen komuniti setempat terhadap kelestarian alam sekitar selain keunikan warisan tradisi nelayan yang dimilikinya.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata kekuatan utama kampung berkenaan terletak pada keupayaan penduduk mengekalkan identiti kebudayaan pulau sambil mengamalkan gaya hidup lestari.

“Kekuatan kampung ini ialah landskapnya yang unik dan menarik. Walaupun sebuah pulau kecil, penduduknya sangat inovatif dan bekerjasama rapat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Setiap tahun mereka menganjurkan pertandingan Go Green bersama NGO serta giat mempromosikan identiti budaya tempatan. Atas usaha berterusan itu, mereka dipilih sebagai pemenang,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan di sini malam tadi.
Majlis julung kali diadakan itu disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan turut dihadiri Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar.
Suee Lim berkata pertandingan berkenaan menerima sambutan luar biasa dengan penyertaan 74 daripada 77 kampung baru di seluruh Selangor, bersamaan 95 peratus penyertaan, menandakan semangat tinggi komuniti dalam memperkasa peranan kampung masing-masing.

Menurutnya, proses penilaian berlangsung lebih enam bulan dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah dan Tanah, pihak berkuasa tempatan serta Unit Perancang Ekonomi Negeri.
“Kita bercadang menjadikan pertandingan ini acara dwitahunan bagi menggalakkan kepimpinan kampung baru terus berinovasi dan memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri kini di peringkat akhir persiapan penganjuran Karnival Kampung Baru Selangor yang dijadual berlangsung awal tahun depan di Pandamaran, Klang.
“Karnival selama dua hari itu dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung dengan pelbagai acara menarik menampilkan warisan kampung seperti makanan, kebudayaan, pakaian dan pertunjukan tradisi.
“Pandamaran dipilih kerana ia kampung baru kedua terbesar di Selangor selepas Seri Kembangan,” katanya.




