ad

23 usahawan Selangor sertai Ekspo Import Antarabangsa China, perluas pasaran produk

6 Nov 2025, 8:05 AM

SHAH ALAM, 6 NOV: Seramai 23 usahawan Selangor menyertai Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) di Shanghai bagi memperluas capaian produk tempatan ke pasaran antarabangsa.

EXCO Usahawan, Mohd Najwan Halimi berkata penyertaan dalam ekspo perdagangan antarabangsa yang bermula semalam hingga 10 November bukan sahaja membuka peluang eksport, malah memperkukuh jenama usahawan Selangor di pentas global.

“Daripada jumlah itu, 10 usahawan di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), manakala 13 lagi di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menawarkan RM20,000 bagi setiap reruai, tetapi Kerajaan Negeri menanggung 90 peratus kos penyertaan untuk memudahkan usahawan tempatan menembusi pasaran antarabangsa.

“Selain Kerajaan Negeri, 12 pihak berkuasa tempatan turut menyumbang kos bagi setiap peserta. Dengan inisiatif ini, usahawan hanya perlu membayar RM2,000 untuk menyertai ekspo, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri memperkukuh ekosistem keusahawanan.

“Malah, mereka berpeluang memperluas eksport produk tempatan dan mengukuhkan jenama usahawan Selangor di peringkat global,” katanya.

Pameran perdagangan antarabangsa berprestij itu dirasmikan Perdana Menteri China Li Qiang dan menghimpunkan ribuan pemain industri, pelabur serta wakil kerajaan dari seluruh dunia.